Wakil rakyat Chini diketahui hari ini

Wakil rakyat Chini diketahui hari ini

PEKAN,. Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berlangsung hari ini, dengan proses pemilihan wakil rakyat baharu DUN itu dilaksanakan dengan kebiasaan baharu ekoran penularan pandemik COVID-19.

Seramai 20,816 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka di 13 pusat mengundi menerusi 65 saluran mulai 8 pagi hingga 5.30 petang, sebelum keputusan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Datuk Zaliza Zulkipli dijangka pada sebelah malam di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dekat sini.

Sebanyak 13 pusat mengundi yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Mambang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, SK Kinchir, Dewan Mempelas Kampung Baru PPSK Salong, SK LKTP Chini Timur 1, SMK Chini Timur, Balai Raya Kampung Dusun, SK LKTP Chini Timur 2, SK LKTP Chini 3 dan 5, SK LKTP Chini 1 dan 4, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3, Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Nur Ilham Felda Chini 1 dan SMK Chini 2.

PRK DUN Chini merupakan pilihan raya kecil ke-11 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan merupakan yang pertama buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada PH pada Mac lalu.

Selain 838 petugas pilihan raya, turut bertugas pada PRK itu ialah lebih 700 pegawai dan anggota polis bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, selain sekurang-kurangnya tiga petugas kesihatan ditempatkan di setiap pusat mengundi sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terdapat pengundi yang bergejala.

Untuk memastikan aspek penjarakan sosial dipatuhi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan masa cadangan kepada pengundi dan menasihatkan supaya mereka mematuhi masa cadangan itu, selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka.

Situasi pandemik COVID-19 juga menyebabkan PRK DUN Chini berlangsung dalam keadaan paling tenang sejak hari penamaan calon pada 20 Jun lalu, kerana tiada perhimpunan penyokong dibenarkan selain ceramah yang dibenarkan juga hanya melibatkan jumlah kehadiran tidak melebihi 250 orang.

Selain itu, SPR juga lebih menggalakkan calon untuk berkempen menggunakan media sosial selain kempen rumah ke rumah hanya boleh dilakukan dalam bilangan yang kecil tanpa ‘adegan’ bersalaman atau bersentuhan.

PRK DUN Chini menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan generasi kedua Felda Chini, Mohd Sharim Md Zain, 41, untuk mempertahan kerusi DUN itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang merupakan penulis blog.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. Abu Bakar merupakan penyandang kerusi DUN Chini sejak PRU11 pada 2004.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)