Wan Azizah harap Persatuan Pandu Puteri Malaysia terus berkembang

Wan Azizah harap Persatuan Pandu Puteri Malaysia terus berkembang

KUALA LUMPUR,. Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan terus berkembang bagi membolehkan anggota serta pemimpin mudanya memperoleh pelbagai ilmu dan kemahiran.

Ketika menyampaikan ucapan alu-aluan semasa lawatan negara Presiden Singapura Halimah Yacob ke Wisma Pandu Puteri di sini pada Selasa, beliau juga berharap kerjasama antara Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Pandu Puteri Singapura akan terus diperkukuh dan menjalin ikatan yang berkekalan.

Beliau berkata Persatuan Pandu Puteri Malaysia kini berusia 107 tahun dan telah berdepan pelbagai ujian serta perubahan sepanjang perjalanannya dengan keanggotaan mencecah 300,000 orang pada akhir 2022.

“Belia wanita serta pemimpin muda kita sedang menjalani latihan dan pendidikan tidak formal melalui Jurnal Progresif kami yang diperkenal baru-baru ini. Selain itu, latihan dan program pembangunan kepimpinan turut disediakan kepada golongan serta pemimpin dewasa,” kata Wan Azizah, yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Katanya selain menjalankan aktiviti dan program kebangsaan, mereka menjalin kerjasama dengan organisasi pandu puteri yang lain di peringkat antarabangsa.

Antaranya kolaborasi Persatuan Pandu Puteri Malaysia dengan Pandu Puteri Singapura di bawah naungan Yayasan Temasek dalam bidang kepimpinan dan tadbir urus.

“Melalui kolaborasi ini, kami berharap untuk melahirkan ramai pemimpin muda yang berkebolehan. Kami juga berkolaborasi dengan Bharat Scouts and Guides dari India dengan mengusahakan Projek Reach Out bertajuk You, Me and Us Forever: Strategy for Growth and Community.

“Dana Kepimpinan Juseon Beon untuk pemimpin muda dan projek Asia Pacific 3L iaitu Projek Mencanting Batik yang merupakan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya sambil menambah bahawa dengan kesemua kolaborasi ini, beliau berharap Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan terus berkembang.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)