Wanita 23 tahun korban COVID-19 termuda Malaysia

Wanita 23 tahun korban COVID-19 termuda Malaysia

PUTRAJAYA, 9 April — Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 23 tahun menjadi korban termuda COVID-19 di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan kes kematian ke-67 (kes ke-2864) dengan mangsa mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

“Pesakit mempunyai penyakit tiroid dan lambat ke hospital untuk mendapatlan rawatan. Seperti yang saya katakan bagi kebanyakan kes, 88 peratus datang (ke hospital) ketika dalam kategori satu dan dua… tetapi pesakit ini dalam kategori empat,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, wanita itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif COVID-19 (kes ke-2469 dan ke-2470) dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak walaupun beliau bukan peserta persidangan gereja itu.

Wanita berkenaan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 9 April, pukul 9.42 pagi.

Sebelum ini kes kematian COVID-19 di Malaysia kebanyakkan melibatkan warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan kencing manis.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata hampir 60 peratus daripada mereka yang terkorban kerana COVID-19 adalah mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas selain dengan masalah kesihatan lain.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )