Wanita UMNO konsisten sokong pendirian parti, fokus bantu rakyat

Wanita UMNO konsisten sokong pendirian parti, fokus bantu rakyat

KUALA LUMPUR, 24 Jan — Pergerakan Wanita UMNO terus konsisten menyokong pendirian parti termasuk kehendak presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan parti itu fokus memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan pandemik COVID-19 dan banjir.

Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata fokus Wanita UMNO juga ialah memperkukuhkan gerak kerja bagi mencapai objektif menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dalam keadaan negara yang kini dilanda wabak COVID-19 dan juga banjir, sudah pasti keperluan rakyat perlu diutamakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata sebagai tulang belakang parti, sudah pasti Wanita UMNO akan terus menggembleng tenaga memastikan kebajikan rakyat dijaga.

Noraini seterusnya menyeru semua ahli parti untuk terus merapatkan saf, memperkukuhkan parti agar rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa UMNO adalah parti yang benar-benar mampu mendukung denyut nadi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Marilah kita terus mempertingkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), menjaga kawalan kendiri, agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan dan angka pesakit positif kembali kepada sifar,” kata beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )