Wanita UMNO Tegas ‘No Dap’, Tolak Kerjasama Dengan Sesiapa Sahaja Ada Hubungan Dengan Dap
Oleh: Azlina Rosdy
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Wanita UMNO Malaysia berpendirian tegas dengan pendirian ‘No Dap’ dan menolak keras kerjasama dengan sesiapa sahaja yang ada hubungan dengan Dap sebaliknya mahu terus memperkukuhkan Muafakat Nasional.
Selain itu Ketuanya Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad juga berkata, Wanita UMNO menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.
“Selari dengan titah ini maka bersesuaianlah saranan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan gencatan politik dalam memberi ruang kepada pemimpin Kerajaan untuk memberi fokus kepada pelbagai cabaran yang sedang melanda negara ketika ini.
“Selain itu, dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kita haruslah terus memperkukuhkan Muafakat Nasional kerana rakyat menerima baik kerjasama antara UMNO dan PAS malah ini adalah satu pilihan baru untuk rakyat bagi menyandarkan harapan agar suara mereka di bawa dengan baik,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.
Untuk rekod sebelum ini, Wanita UMNO Malaysia juga telah menyatakan akan sentiasa komited dan teguh dengan keputusan parti iaitu tegas senada bersama keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang telah mempersetujui agar ‘no Dap’, tidak ada kerjasama dengan sesiapa yang ada hubungan dengan Dap dan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional.
Wanita juga yakin dan percaya dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan dalam membawa hala tuju parti demi kepentingan rakyat sesuai dengan status parti keramat di negara ini.
– UMNO ONLINE /DG