Warga emas, golongan berpenyakit kronik disaran ambil dos penggalak kedua

Warga emas, golongan berpenyakit kronik disaran ambil dos penggalak kedua

PETALING JAYA,. Golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta individu berpenyakit kronik digalakkan untuk mendapatkan dos penggalak kedua bagi meningkatkan imuniti mereka dalam mencegah dijangkiti COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ini kerana dijangka berlakunya pasang surut kes COVID-19 dan kemungkinan negara ini dilanda gelombang baharu dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

“Sejauh mana gelombang itu atau sebesar mana gelombang itu kita tidak pasti tetapi berdasarkan perkembangan epidemiologi negara-negara lain menyatakan gelombang jangkitan itu akan berlaku.

“Sebab itu dalam kategori tertentu, mereka yang berusia dan mengalami masalah kesihatan yang kronik digalakkan untuk top up imuniti mereka melalui penambahan dos vaksin,” katanya selepas merasmikan sesi dialog sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Khairy berkata setakat semalam, seramai 107,844 orang di Malaysia telah menerima suntikan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 dan 57,834 daripada jumlah itu terdiri dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas.

“Malah, setakat ini, kita tidak menerima apa-apa laporan berkenaan kesan sampingan terhadap dos penggalak kedua,” katanya.
Mengulas perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dibuka semula bermula 20 Jun hingga 24 Jun ini, Khairy berkata seramai 397 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima suntikan vaksin melalui program itu.

Katanya, walaupun PICKids telah diumumkan tamat pada 31 Mei lepas, terdapat ibu bapa yang meminta supaya diberi peluang untuk mendapatkan kemudahan vaksinasi itu.

“Ada juga masyarakat terpinggir kerana tak dapat maklumat sebelum ini. Maka kita setuju untuk buat kempen ini semula secara terhad bagi memastikan mereka yang terlepas peluang diberikan kemudahan vaksinasi kepada anak-anak mereka,” katanya.

Ditanya mengenai pembayaran kepada pengendali aplikasi MySejahtera, Khairy berkata kerajaan belum membuat sebarang pembayaran setakat ini, namun telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan rundingan harga.

Pada Mac lepas, Khairy dilapor berkata kerajaan belum meluluskan atau membuat apa-apa pembayaran kepada pengendali aplikasi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan dan KKM akan memastikan sebarang keputusan berhubung kos pembayaran akan mengambil kira kepentingan negara dan rakyat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)