Warga emas OKU terima layanan istimewa semasa suntik vaksin

KUALA BERANG,. Meskipun menghadapi pelbagai kesukaran, seorang warga emas yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) bersyukur kerana urusannya untuk mendapatkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19, dipermudahkan melalui bantuan petugas dan sukarelawan kesihatan.

Megat Putra Megat Mansor, 61, yang cacat pendengaran sejak usia muda bukan sahaja dijemput dan dihantar dari pintu rumahnya malah turut menerima layanan istimewa semasa berada di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, kelmarin.

Buat kali kedua, beliau telah dijemput dengan kereta pacuan empat roda petugas kesihatan, dari rumahnya di Kampung Tok Randok dekat Ajil, kira-kira 10 km dari sini, pada jam 9.00 pagi untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dos kedua, memandangkan ketiga-tiga anaknya menetap di Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

Setibanya di PPV berkenaan, beliau yang berkerusi roda dan tidak mampu berjalan jauh kerana pernah mengalami kecederaan lutut, akibat terjatuh semasa bekerja sebagai pemandu lori kargo lima tahun lepas, sekali lagi dibantu sukarelawan kesihatan.

“Ketika hendak mendapatkan suntikan pertama akhir bulan lepas (Mei), pakcik risau kalau terlepas janji temu vaksin sebab tiada kenderaan dan pakcik pun tinggal berdua sahaja dengan isteri (Banu Mohamad, 49) kerana anak-anak tinggal jauh,” katanya ketika ditemui Bernama selepas mendapatkan suntikan dos kedua vaksin berkenaan, kelmarin.

Megat Putra yang turut menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi juga terharu dengan keprihatinan dan inisiatif petugas serta sukarelawan kesihatan di PPV tersebut yang bergilir-gilir membantu beliau sepanjang proses mendapatkan vaksin.

“Isteri menghubungi pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memaklumkan keadaan pakcik dan mereka menasihati kami supaya jangan risau kerana mereka akan jemput dari rumah dan hantar semula selepas selesai vaksin,” katanya menzahirkan rasa syukur dan terima kasih dengan bantuan petugas terlibat.

Justeru, beliau menasihati individu yang mengalami kesukaran sepertinya supaya segera menghubungi KKM atau pihak berkaitan untuk meminta pertolongan dan usah menggunakan alasan kekurangan pada diri dan keadaan sebagai alasan untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin.

“Mereka (KKM) sudah sediakan semua kemudahan walau apa sahaja keadaan kita…yang pasti kita berikhtiar mencari jalan. Mengambil vaksin ini tanggungjawab kita dalam usaha untuk mencegah penyakit (COVID-19) selebihnya kita tawakal kepada Allah,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita OKU Sabariah Mohd, 36, bersyukur kerana terdapat laluan khas untuk golongan OKU sepertinya di PPV tersebut bagi memudahkan urusan suntikan vaksin.

Beliau yang memandu kereta sendiri dari rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat di sini untuk ke PPV tersebut, juga tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi dos pertama itu.

“Saya mendaftar untuk menerima vaksin pada Mac lepas dan syukurlah kerana golongan OKU tersenarai untuk diberikan suntikan bagi fasa kedua ini,” kata guru al-Quran itu yang mengalami kecacatan pada kaki kanan sejak dilahirkan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )