Warga kerja Bernama perlu pelbagaikan kemahiran – Suhaimi
KUALA LUMPUR, 20 Mei — Warga kerja Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu mempelbagaikan kemahiran mereka selari dengan perkembangan teknologi dalam usaha menambah baik kualiti penyampaian agensi berita rasmi negara itu yang kini berusia 53 tahun.
Pengerusinya, Suhaimi Sulaiman, berkata wartawan tidak boleh lagi hanya sekadar berpegang kepada asas kewartawanan 5W 1H (what, when, where, why, who dan how) (Apa, Bila, Dimana, Mengapa,Siapa, Bagaimana) , sebaliknya harus mempersiapkan diri dan sentiasa belajar perkara baharu seperti ‘search engine optimization’ (SEO) dan analitis data.
“Semua itu kena ada, itulah sebabnya saya salah seorang yang percaya pada pembelajaran sepanjang hayat, jadi kita sentiasa belajar. Dengan sikap dan pemikiran sedemikian, letakkan apa industri sekalipun kita akan berjaya.
“Kita harus memperbaiki diri kita dan apabila kita memperbaiki diri kita, secara tidak langsung di suasana sekeliling kita juga akan lebih baik dan seterusnya organisasi itu akan menjadi hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa temu bual eksklusif bersama Bernama Radio sempena ulang tahun ke-53 Bernama, hari ini.
Suhaimi turut menekankan Bernama perlu dilihat sebagai sebuah agensi berita berkonsepkan ‘thought leadership’ atau peneraju pemikiran nombor satu di negara ini dengan mengajak orang ramai untuk berfikir melalui pelbagai platform.
Beliau berkata kolaborasi bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dalam mendapatkan kandungan berita berbentuk ilmiah untuk ruangan Tinta Minda atau ‘Thoughts’ dalam laman web Bernama.com, merupakan langkah terbaik bagi menyampaikan pendapat pakar pelbagai bidang kepada masyarakat.
“Apa yang selalu berlaku di universiti itu adalah (kandungan berita) itu berakhir dalam jurnal akademik tetapi tidak ditulis di media (massa) di mana rakyat dapat memahaminya.
“Di samping peranan sebagai agensi berita nasional, Tinta Minda boleh dijadikan platform perkongsian informasi untuk orang ramai mendapatkan ilmu baharu. Ini dapat membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan fakta dan olahan berita yang menarik dan berkesan,” katanya.
Bernama ditubuhkan pada 1967 oleh Akta Parlimen. Bermula sebagai agensi berita, ia kini berkembang menjadi organisasi media yang mengendalikan sebuah agensi berita, sebuah stesen radio (BernamaRadio) dan saluran televisyen (BernamaTV), selain jaringan platform media sosial.
Bernama beroperasi pada 1968 dengan memulakan perkhidmatan teks berita dan berkembang kepada perkhidmatan foto sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen pada 2008 dan terkini media digital.
— BERNAMA