Warisan tidak sesuka hati terima wakil rakyat pembangkang
KOTA KINABALU,. Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan partinya tidak sesuka hati menerima permohonan masuk wakil rakyat pembangkang, malah akan melakukan tapisan dengan teliti terlebih dahulu.
Beliau, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata mana-mana wakil rakyat dari parti pembangkang yang memohon sertai Warisan akan ditapis dan mendapat persetujuan barisan pemimpinan parti.
“Kita teliti dan bukan ambil-ambil, terima sahaja, saya teliti secara mendalam dan buat keputusan bersama pimpinan Warisan,” katanya pada sidang media selepas menerima borang permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang, yang meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS), untuk menyertai Warisan di sini, hari ini.
Beliau berkata partinya menerima Abdul Rahman dengan hati terbuka dalam memperjuangkan kepentingan dan pembangunan Sabah secara keseluruhan.
Menurutnya, penyertaan Abdul Rahman adalah tanpa bersyarat sebaliknya secara ikhlas untuk bersama-sama kerajaan Sabah dalam membangunkan negeri tersebut.
Penyertaan Abdul Rahman itu menjadikan Warisan kini mempunyai 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Mengenai pencapaian sembilan wakil rakyat dari pembangkang yang telah menyertai Warisan sebelum ini, Mohd Shafie berkata beliau berpuas hati dengan keupayaan mereka memainkan peranan membantu masyarakat di peringkat akar umbi .
Katanya, kerajaan negeri telah memberikan bantuan yang sewajarnya bagi memastikan wakil rakyat berupaya membantu masyarakat di kawasan mereka.
— BERNAMA