Weststar kuat kuasa langkah pemindahan pesakit yang ketat untuk keselamatan
KUALA LUMPUR, 7 April — Weststar Aviation Services (Weststar) telah menubuhkan proses dan langkah ketat semasa pemindahan perubatan yang melibatkan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) untuk memastikan keselamatan semua orang semasa penerbangan pergi dan balik dari luar pesisir.
Weststar berkata ia juga sejajar dengan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM), yang merangkumi protokol kukuh untuk keselamatan semua orang.
“Kakitangan kami bukan sahaja terbukti sebagai petugas barisan hadapan yang paling kuat dan paling berharga di syarikat ini dalam menghadapi waktu sukar ini tetapi juga sebagai rakyat Malaysia yang berani berjuang untuk negara mereka dalam cara mereka tersendiri,
“Mereka menghadapi cabaran peribadi dan profesional dan Weststar tidak mahu apa-apa selain daripada menyediakan sistem keselamatan yang sesuai untuk semua pekerja dan orang ramai,” kata penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir dalam satu kenyataan hari ini.
Weststar berkata demi mengekalkan pembangunan ekonomi negara, syarikat itu akan terus menyokong operasi minyak dan gas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia berkata kesihatan dan keselamatan pekerja, pelanggan, pihak berkepentingan yang lain dan komuniti akan menjadi keutamaan utama Weststar.
“Kami mengambil langkah-langkah proaktif untuk menjamin operasi yang selamat dan boleh dipercayai bagi melindungi kesihatan dan keselamatan kakitangan serta orang awam semasa pandemik COVID-19,” katanya.
Untuk imbas kembali, Weststar telah menyertai usaha kerajaan untuk membawa balik rakyat Malaysia yang terkandas di Maldives berikutan sekatan perjalanan rentas sempadan global di tengah-tengah penularan COVID-19.
Penerbangan misi pemindahan itu, membawa 18 rakyat Malaysia dari Male telah dilakukan dengan menggunakan pesawat Boeing Business Jet BBJ 767 Weststar.
— BERNAMA