
WHO gesa berwaspada ketika banyak negara longgarkan sekatan
GENEVA,. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menzahirkan pujian di atas penurunan angka kematian akibat COVID-19 yang dicapai beberapa negara.
Bagaimanapun, WHO mengingatkan mereka supaya terus berwaspada secara ekstrim terutama apabila perintah berkurung dan sekatan mula dilonggarkan.
Sebahagian negara Eropah dijangka mengambil masa lama untuk pembukaan semula negaranya bermula semalam, sementara pegawainya difahamkan Perancis dan Sepanyol yang mencatatkan penurunan angka kematian, akan mula menarik balik penutupan sebelum ini.
“Apa yang menjadi perkara baik ialah kejayaan memperlahankan penularan virus dan secara tidak langsung menyelamatkan banyak nyawa, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom.
Ghebreyesus berkata demikian dalam sidang media maya, semalam.
Sementara itu, Ketua Kecemasan WHO, Michael Ryan menyetujui pandangan itu dan melihat penarikan berperingkat sekatan itu, satu isyarat yang menggambarkan ‘harapan’.
“Namun tahap kewaspadaan yang ketat adalah perkara penting,” katanya.
Lebih 280,000 dilaporkan maut dengan kira-kira empat juta penduduk seluruh dunia dijangkiti virus COVID-19 itu.
Di sebalik langkah-langkah drastik dilaksanakan banyak negara yang mengawal penularan virus itu, namun tetap ada wujud kebimbangan meluas akan kemunculan gelombang jangkitan lebih besar selepas ini.
Justeru, Ryan mendesak negara terus peka meningkatkan kesiapsiagaan kesihatan awamnya bagi membolehkan negara itu berupaya mengenal kes baharu, mengesan dan mengasingkan semua kontak, yang katanya dapat membantu ‘menghindari gelombang besar kali kedua’.
Ini berikutan banyak negara melakukan persiapan kemudahan kesihatan yang sangat sistematik dalam membangun kemampuan kesihatan awam sepanjang selama pelaksanaan sekatan, namun ada negara adalah sebaliknya.
“Sekiranya jangkitan berlanjutan di negara yang mempunyai tahap rendah tanpa kemampuan untuk menyiasat kluster, mengenal pasti kelompok, risiko gelombang penyakit itu kembali akan ada lagi,” katanya.
Tanpa memperincikan mana-mana negara, Ryan mendakwa ada negara bersikap tidak endah pada peringkat awal terutama menangani dan mengesan kluster yang menjadi pencetusnya.
WHO juga mendedahkan ada kalangan negara yang tidak melaksanakan langkah diperlukan untuk menghentikan penyebaran virus, dengan penduduk dengan cepatnya membina pertahanan badan yang dikenali imuniti berkelompok.
“Kajian serologi awal menunjukkan bahawa peratusan populasi mempunyai antibodi rendah terhadap COVID-19,” kata Tedros sekali gus menyaksikan kebanyakan penduduk terdedah dan berisiko terhadap virus.
Katanya, lebih daripada 90 penyelidikan serologi yang mana mendedahkan antibodi dalam darah menentukan seseorang mempunyai sejarah jangkitan masa lalu, menjadi kaedah pengujian di sebahagian negara.
Ketua Teknikal Untuk COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih belum mampu membuat penilaian secara kritis terhadap laporan penyelidikan yang diterima, bagaimanapun secara kritis, data awal yang dikeluarkan menunjukkan bahawa antara satu hingga 10 peratus orang mempunyai antibodi atau kekebalan tubuh.
“Ada pola yang konsisten yang menunjukkan sebilangan kecil orang memiliki antibodi ini,” katanya.
Ia dipersetujui Ryan yang mengatakan hasil awal menafikan tanggapan umum bahawa kebanyakan kes virus itu ringan dan tidak dapat dikesan.
Hasil awal bagaimanapun menunjukkan sebaliknya, iaitu orang yang berpenyakit klinikal ll sebenarnya mempunyai proporsi lebih tinggi daripada yang difikirkan sebelumnya, sambil menyifatkannya sebagai penyakit serius.
“Banyak negara khususnya yang mempunyai langkah kawalan lemah akan tiba-tiba mencapai imuniti kelompok dan bagaimana jika kita kehilangan pesakit warga emas di yang dilihat ada penunjuk sangat berbahaya,” katanya. – AFP