
WTF 2024: Harapan Pearly-Thinaah ke separuh akhir musnah
KUALA LUMPUR,. Harapan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk mara ke separuh akhir lebur apabila tumpas kepada wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dalam aksi kedua peringkat Kumpulan A kempen Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di Hangzhou, China hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu menyaksikan beregu di kedudukan keenam dunia itu tumbang kepada Treesa-Gayatri 19-21, 19-21 dalam masa 46 minit.
Ia sekali gus menjadi kekalahan kedua pada kejohanan berkenaan buat Pearly-Thinaah selepas turut tewas di tangan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-13, 17-21, 18-21 pada aksi pertama Kumpulan A semalam.
Hanya dua pasangan terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke pusingan separuh akhir dalam kejohanan musim ini.
Menanti Pearly-Thinaah pada perlawanan seterusnya pada peringkat Kumpulan A, pilihan tempat kejohanan Liu Shengshu-Tan Ning dari China, yang sudah mengesahkan tiket separuh akhir selepas memenangi dua perlawanan berturut-turut.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kini selangkah untuk mara ke separuh akhir selepas menewaskan wakil Indonesia Dejan Febrinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Tang Jie-Ee Wei tidak berdepan masalah untuk menang straight set 21-17, 21-18 terhadap lawan mereka yang berlangsung selama 49 minit.
Pasangan negara itu akan bertemu gandingan Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito bagi aksi terakhir kumpulan B.
Terdahulu, Midorikawa-Saito terpaksa akur tumpas straight set 21-14, 21-14 kepada beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Soon Huat-Shevon akan bertemu Dejan-Gloria esok bagi merebut peluang ke separuh akhir selepas tumpas kepada Tang Jie-Ee Wei semalam.
— BERNAMA