WWF Malaysia gesa unit jenayah hidupan liar ditubuhkan
KUALA LUMPUR,. Terdapat keperluan mendesak untuk menubuhkan unit jenayah hidupan liar dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memerangi pemburuan haram dan perdagangan haram hidupan liar, di negara ini.
WWF-Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata unit berkenaan dapat berperanan mengumpulkan maklumat mengenai sindiket pemburuan haram yang merupakan sebahagian daripada jaringan perdagangan haram yang lebih besar dan dapat memastikan bahawa tindakan undang-undang dikenakan sejak dari peringkat pengumpulan bukti sehingga ke proses pendakwaan.
Dalam kebanyakan kes yang dilaporkan, mereka yang diberkas kerana memburu spesies terancam mungkin bekerja untuk sindiket asing.
Menurut kenyataan itu, usaha mencegah sindiket berkenaan harus diberikan keutamaan, selain menghukum mereka yang bersalah kerana melakukan jenayah terhadap hidupan liar.
“WWF-Malaysia yakin bahawa selain kejayaan Ops Khazanah, penubuhan unit jenayah hidupan liar akan menjadi inisiatif penting untuk menghentikan kegiatan pemburuan liar dan perdagangan hidupan liar secara efektif,” menurut kenyataan itu.
Apa yang membimbangkan, aktiviti pemerdagangan hidupan liar secara haram semakin meningkat dan menjadi ancaman terhadap hidupan liar di Malaysia, menurut kenyataan itu.
“Memerangi perdagangan haram hidupan liar tidak hanya dapat melindungi spesies terancam malah dapat menjaga kesejahteraan dan nyawa orang ramai.
“Dengan jumlah Harimau Malaya kurang dari 200 ekor, maka usaha melindungi spesies terancam ini seharusnya diutamakan,” tambah kenyataan itu.
— BERNAMA