Yakeb lancar jualan kad kenangan ‘kepingan emas’ legenda sukan negara

Yakeb lancar jualan kad kenangan ‘kepingan emas’ legenda sukan negara

PUTRAJAYA,. Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) melancarkan penjualan kad kenangan ‘kepingan emas’ legenda sukan negara dalam usaha menambah dana untuk Skim Bantuan Khas Yakeb, bagi tujuan membantu bekas atlet negara.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata pengeluaran kad kenangan kepingan emas seberat 0.5 gram yang menampilkan tiga legenda sukan negara itu, dihasilkan menerusi kerjasama dengan syarikat Triplenine Goldworld Gallery yang bersetuju menampung kos pengeluaran kad berkenaan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka.

Tiga legenda sukan berkenaan adalah bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, bekas ratu olahraga negara, Datuk M. Rajamani, dan bekas jaguh berbasikal trek negara, Datuk Ng Joo Ngan.

Noorul Ariffin berkata kad berkenaan dijual pada harga RM165 sekeping, dengan sejumlah RM30 daripada penjualan kad itu akan disalurkan ke Tabung Yakeb for X-Athlete (TabungX).

“Kita sudah menerima tempahan awal 300 keping pada minggu lepas, dan kita akan mengeluarkan 999 keping kad untuk setiap legenda sukan negara.

“Kita harap syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan untuk membeli kad kenangan kepingan emas ini untuk bantu tambah dana Yakeb,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kad berkenaan yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Galeri KBS, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noorul Ariffin berkata pihaknya merancang untuk mengeluarkan kad kenangan sama, dan menampilkan beberapa bekas atlet kebangsaan seperti jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, ratu skuasy negara, Datuk Nicol David selain pasukan badminton negara yang menjuarai Piala Thomas 1992.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, memuji inisiatif Yakeb yang memperkenalkan penjualan kad kenangan itu dalam usaha menambah dana mereka bagi membantu bekas atlet negara.

Orang ramai atau sektor korporat yang berminat untuk membeli kad kenangan berkenaan boleh membuat tempahan dengan menghubungi pejabat Yakeb di talian 03-20924841/4844, nombor telefon (012-9996006), atau membuat bayaran secara pindahan bank ke akaun CIMB Yakeb: 8000644425.

Pada majlis sama, Yakeb turut menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada dua bekas atlet negara, A. Ramasamy dan Janudin Taib, selain turut menyampaikan skim khairat kematian berjumlah RM3,000 tiap seorang kepada tiga waris atlet negara yang sudah meninggal dunia.

Tiga waris berkenaan mewakili Allahyarham Mohamed Akbar Baba (tenis), mendiang Lawrence Joseph Van Huizen (hoki) dan mendiang Lee Kok Wah (bola keranjang).

Yakeb turut menyerahkan bantuan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah bernilai RM1,500 kepada atlet taekwondo negara, Jasmin Nabila Sukardi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )