Yew Sin-Ee Yi mara ke pusingan kedua BAC 2023

Yew Sin-Ee Yi mara ke pusingan kedua BAC 2023

KUALA LUMPUR,. Beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya melepasi halangan pertama pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Bagaimanapun, pasangan kelapan dunia itu terpaksa bekerja keras apabila bertarung sehingga set penentuan sebelum mengatasi pasangan India M R Arjun dan Dhruv Kapila 12-21, 21-16, 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung selama 48 minit di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.

Kemenangan itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi merekodkan kemenangan keempat ke atas Arjun-Dhruv selepas Terbuka Thailand 2021, All England 2021 dan Terbuka Jerman 2022.

Yew Sin-Ee Yi yang juga pilihan kelapan kejohanan akan menentang sama ada pasangan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae atau beregu Jepun Ayato Endo-Yuta Takei pada pusingan kedua hari ini.

Sementara itu, beregu wanita profesional Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas kepada pasangan China Zhang Shu Xian-Zheng Yu yang juga pilihan keempat kejohanan, 15-21, 12-21.

Pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei turut tersingkir apabila ditundukkan pemain pilihan kedua kejohanan, An Se Young dari Korea Selatan, 10-21, 8-21 dalam perhitungan yang berlangsung selama 27 minit.

Se Young yang berada di ranking kedua dunia akan bertemu pemain Thailand Busanan Ongbamrungphan pada pusingan kedua, hari ini.

Beregu lelaki profesional negara, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong pula ditunjukkan jalan keluar awal oleh pilihan keenam kejohanan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dalam perlawanan straight set, 14-21, 17-21.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)