Yew Sin-Ee Yi menang gelaran pertama tahun ini

KUALA LUMPUR,. Beregu profesional badminton negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang berkedudukan ke-20 dunia, menang gelaran pertama mereka tahun ini selepas menewaskan pasangan dari China Huang Kai Xiang-Lui Cheng pada perlawanan akhir beregu lelaki Masters Thailand di Bangkok hari ini.

Yew Sin-Ee Yi yang merupakan antara tujuh pemain digugurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) daripada pasukan kebangsaan, mengambil masa 72 minit untuk mencatatkan keputusan 18-21, 21-17, 21-17.

Pasangan itu merupakan satu-satunya wakil Malaysia pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Huamark selepas pasangan beregu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan dua pasangan beregu campuran Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Lai Shevon James tewas pada peringkat separuh akhir semalam.

Semalam, Yew Sin-Ee Yi mencatatkan kemenangan selesa 21-17, 21-14 terhadap pasangan Taiwan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan, untuk layak ke final hari ini.

Pemain Hong Kong Ng Ka Long Angus memenangi kategori perseorangan lelaki selepas mengalahkan pemain Jepun Kenta Nishimoto 16-21, 21-13, 21-12, sementara Akane Yamaguchi (Jepun) menjuarai perseorangan wanita dengan mengalahkan An Se Young dari Korea Selatan 21-16, 22-20.

Pasangan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan menang beregu wanita, manakala beregu campuran dimenangi pasangan Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )