YPNM mohon Muhyiddin atasi ketirisan industri sawit negara
PUTRAJAYA,. Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) semalam menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon kerajaan mengambil tindakan berhubung ketirisan dalam industri sawit negara seperti yang didakwa mereka sebelum ini.
Presidennya Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata ketirisan itu menjejaskan pendapatan hampir 700,000 pekebun kecil dan peneroka di seluruh negara termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).
Sehubungan itu, katanya YPNM mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta agensi penguatkuasaan bagi menyiasat kakitangan agensi berkaitan sawit negara.
Mohd Firdaus yang ditemui wakil media selepas menyerahkan memorandum yang diterima Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Azril Mohd Amin di Perdana Putra di sini, berkata pekebun kecil menjadi mangsa kerana tidak mendapat harga sepatutnya susulan penjualan secara haram oleh lori penghantaran minyak sawit dari kilang buah ke kilang penapisan.
Menurutnya kaji selidik YPNM mendapati setiap penghantaran lori minyak sawit dari kilang buah ke kilang penapisan, hampir 1,000 kilogram telah dijual kepada pembeli haram yang dijalankan “di tepi jalan”.
Beliau mendakwa sindiket membeli secara haram itu dilakukan secara terancang dan dilindungi agensi pembangunan minyak sawit hingga menyebabkan industri sawit negara kerugian antara RM700 juta dan RM1 bilion setahun ekoran ketirisan tersebut.
“Kita harap kegiatan haram ini dapat dibanteras supaya industri sawit negara akan lebih maju, kembalikan harga yang setimpal atas penjualan buah tandan basah pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negara dan mencegah kerugian hasil cukai untuk kerajaan,” katanya.
— Bernama