Zidane gembira dengan aksi bintang mudanya
MADRID,. Real Madrid mengenepikan seketika krisis yang melanda apabila menewaskan Osasuna 2-0 tanpa kehadiran Eden Hazard dan Gareth Bale untuk menerajui saingan La Liga.
Hazard dan Bale antara pemain yang direhatkan jurulatih, Zinedine Zidane ketika Real bakal berdepan tujuh perlawanan dalam masa 21 hari dengan perlawanan seterusnya bertemu Atletico Madrid yang dijadual pada awal pagi Ahad waktu Malaysia.
Vinicius Junior yang berdepan situasi sukar sejak beberapa bulan lalu, meledak gol pertama buat Real sebelum dilihat menangis dalam kegembiraan. Tahun lalu, pemain berusia 19 tahun itu berjaya menyerlah namun kecederaan memaksanya tersisih sebelum bergelut untuk mendapat tempat yang dilakukan secara bergilir itu.
Jika Vinicius menjadi pemain sensasi Real dari Brazil kira-kira 12 bulan lalu, kini Rodrygo mungkin jadi penggantinya. Pemain berusia 18 tahun yang diikat dari Santos pada 2018 dan hanya menyertai pasukan pada musim panas lalu menambah gol kedua yang menakjubkan serta pertama untuk dirinya bersama Real hanya seminit selepas dimasukkan dalam penampilan sulung.
“Saya gembira dengan prestasi mereka,” kata Zidane. “Kadang-kadang kita terlupa mereka berusia 18 (dan 19 ) tahun. Kita melihat emosi yang mereka rasakan apabila menjaringkan gol Bernabeu. Saya suka jaringan Rodrygo itu, namun saya lebih menggemari cara kawalannya,” .
– AFP