Zidane pujuk hati sendiri

Zidane pujuk hati sendiri

MANCHESTER,. Pengendali Real Madrid Zinedine Zidane berkata dia tetap bangga dengan anak buahnya untuk pencapaian sepanjang musim ini walaupun gergasi Sepanyol itu tersingkir di tangan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara.

Ketinggalan 2-1 daripada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir pada Februari lalu di laman sendiri, Real tewas dengan keputusan sama di Stadium Etihad yang kosong untuk kekalahan agregat 4-2, dengan dua kesilapan Raphael Varane mencetus kedua-dua gol City.

“Kami tidak boleh rasa gembira hari ini kerana kami tewas dan tersingkir, tetapi kami perlu berbangga dengan apa yang sudah dicapai musim ini,” kata Zidane.

Real mengatasi Barcelona untuk memenangi La Liga buat pertama kali sejak tahun 2017, hasil 10 kemenangan berturut-turut selepas liga kembali bersambung.

Bagaimanapun, mereka terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara buat pertama kali dengan Zidane sebagai pengendali – yang membimbing mereka untuk kejuaraan tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 2016 sebelum kembali menyertai pasukan tahun lalu.

Gabriel Jesus merampas bola daripada Varane pada minit kesembilan, membolehkan Raheem Sterling meletakkan City di depan.

Karim Benzema menyamakan kedudukan, tetapi tandukan ke belakang oleh Varane membolehkan Jesus sekali lagi mencuri bola dan memastikan kemenangan City. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)