Zii Jia akur kehebatan Momota
KUALA LUMPUR,. Pemain utama negara, Lee Zii Jia terpaksa akur dengan kehebatan pemain nombor satu dunia, Kento Momota apabila ditunjukkan jalan keluar pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2019 di Incheon, Korea Selatan, hari ini.
Pemain berusia 21 tahun itu gagal menyaingi pemain Jepun itu setelah tewas 15-21, 19-21 pada pertarungan selama 50 minit, sekali gus gagal mencari kemenangan sulung dalam empat pertemuan dengan pemain itu.
Bagaimanapun, pemain muda negara itu wajar diberi pujian kerana tidak memberi laluan mudah kepada Momota serta mempamerkan semangat juang tinggi ketika mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, 21-18, 21-16 pada pusingan kedua, semalam.
Zii Jia, yang kini pemain ranking ke-16 dunia, mengakui beliau masih ketinggalan jauh di belakang Momota dan meletakkan sasaran peribadi untuk menjadi setaraf dengan pemain itu tidak lama lagi.
“Saya telah mencuba sebaik mungkin hari ini dan saya tidak puas hati dengan prestasi kali ini walaupun mungkin ada yang mengatakan saya bermain dengan baik.
“Saya perlu berlatih dengan lebih gigih, maka baru boleh mendekati prestasi Momota. Walaupun tidak mudah tetapi akan berusaha keras untuk mencapainya,” katanya ketika dihubungi.
Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, berkata Zii Jia menampilkan persembahan yang lebih baik berbanding kekalahannya kepada pemain itu di suku akhir Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, bulan lalu.
“Walaupun kalah, permainannya ada perubahan, Saya rasa Zii Jia sudah memberikan yang terbaik dan perlu mengakui tahap Momota lebih tinggi…oleh itu kita akan berusaha menonjolkan kematangan Zii Jia dalam permainan,” katanya.
Pada saingan separuh separuh akhir esok, Momota akan berdepan dengan pemain India, Parupalli Kashyap yang menewaskan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 24-22, 21-8 pada satu lagi aksi suku akhir.
Dalam pada itu, cabaran negara pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan US$400,000 (RM1.67 juta) berakhir selepas beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut gagal menempah tempat ke separuh akhir.
Beregu nombor empat negara itu tewas kepada beregu tuan rumah, Choi Solgyu-Seo Seung Jae, 18-21, 21-18, 18-21, pada pertarungan selama 68 minit itu.
— BERNAMA