Ziyad, jurulatih tidak dapat kemuka bukti tiba pada waktu ditetapkan

Ziyad, jurulatih tidak dapat kemuka bukti tiba pada waktu ditetapkan

KUALA LUMPUR,. Jawatankuasa siasatan dalaman dilantik bagi merungkai isu melanda jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli pada Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini merumuskan atlet itu dan jurulatihnya tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan di bilik panggilan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memaklumkan hasil daripada sesi temu bual serta dokumen-dokumen diperoleh jawatankuasa itu mendapati tiada kelibat Muhammad Ziyad dan jurulatihnya Mohd Faizol Harun pada waktu ditetapkan walaupun mereka mendakwa tiba sebelum tamat waktu pendaftaran di Bilik Panggilan Satu, Stadium Olimpik Tokyo, akhir Ogos lepas.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan memastikan tindakan susulan yang wajar diambil oleh atlet, jurulatih dan juga pegawai khususnya bagi tujuan kesedaran, pengajaran, penambahbaikan dan rujukan agar perkara seperti ini tidak berulang.

Meskipun sedemikian, lontaran yang dibuat oleh Muhammad Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan dihargai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Faizal berkata walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh World Para Athletic (WPA) bagi isu Muhammad Ziyad, Persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal khususnya mengenai peraturan ‘did not start’ (DNS) atau tidak memulakan saingan dikenakan kepada pemenang pingat emas Rio 2016 itu.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan berprestij di Jepun itu.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai DNS susulan bantahan oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Berikutan itu atlet Ukraine Maksym Koval diumum pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada 3 September, KBS bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman yang diseliakan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penglibatan anggota bebas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan Muhammad Ziyad di temasya itu. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )