Zoo Negara Perlu Dibantu… Jangan Dibiarkan Begitu Sahaja, Tegas Ahmad Zahid

Zoo Negara Perlu Dibantu… Jangan Dibiarkan Begitu Sahaja, Tegas Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kerajaan atau mana-mana organisasi swasta berkemampuan menyalurkan bantuan kepada Zoo Negara. Tegasnya, jangan dibiarkan begitu sahaja sehingga menjadi detik hitam buat sektor pelancongan dan juga jangan lupa, Zoo Negara pernah menganjurkan 16 pameran utama negara yang dihadiri ramai pelancong.

“Sebelum pandemik COVID-19 kira-kira sejuta pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi Zoo Negara setiap tahun. “Pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) menyebabkan pihak pengurusan sukar menanggung kos operasi, makanan haiwan dan gaji pekerja. Selama ini mereka bergantung harap pada jualan tiket.

“Apa akan terjadi kepada 5,137 haiwan dan 459 spesis hidupan di zoo ini? Adakah ia akan dijual atau dibiarkan tidak makan? Soal Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum ini ramai rakyat bercerita tentang banyak pihak terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Sana-sini kita dengar tentang kisah penderitaan rakyat disebabkan pelaksanaan PKP 2.0. Tetapi semalam kita diberitahu haiwan di Zoo Negara turut terkesan teruk..Tempat tinggal mereka itu hanya mampu bertahan sehingga April 2021.

“Kita kena ingat Zoo Negara adalah zoo pertama di Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman. Dirasmikan pada 14 November 1963 bermaksud usianya sudah menjangkau 58 tahun,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, jika operasi Zoo Negara ini dihentikan, sudah tentu ia sesuatu yang menyedihkan dalam sejarah negara.

Petang semalam, media melaporkan Zoo Negara berdepan masalah kewangan jika PKP dilanjutkan untuk tempoh yang panjang dan hanya mampu bertahan sehingga April ini, tambahan pula kurang menerima sumbangan seperti makanan haiwan sejak PKP dilaksanakan tahun ini berbanding PKP tahun lalu.

– UMNO ONLINE

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )