ZPP kumpul RM159.7 juta kutipan zakat pada 2023

ZPP kumpul RM159.7 juta kutipan zakat pada 2023

BUKIT MERTAJAM,. Zakat Pulau Pinang (ZPP) mencatatkan prestasi kutipan memberangsangkan tahun lepas apabila mengumpul RM159.7 juta, merangkumi RM152.86 juta zakat harta dan RM6.84 juta zakat fitrah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata meskipun jumlah itu tidak mencapai sasaran ditetapkan iaitu RM166.7 juta namun ia melebihi 95 peratus daripada unjuran disasarkan susulan penurunan jumlah pembayar zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), disebabkan tiada lagi pengeluaran bersasar seperti i-Sinar dan i-Citra.

“Jika dilihat berdasarkan prestasi, kutipan zakat harta tahun lepas meningkat pada kadar 6.48 peratus berbanding tahun sebelumnya RM143.54 juta, begitu juga dengan zakat fitrah yang mencatatkan peningkatan kepada RM6.84 juta berbanding RM6.58 juta pada 2022.

“Justeru, pengurangan lima peratus daripada mencapai sasaran adalah disebabkan tiada pengeluaran pada 2023, kerana sebelum ini pengeluaran itu perlu dibuat pembayaran zakat,” katanya pada sidang media Laporan Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat ZPP Bagi Tahun 2023 di Ibu Pejabat ZPP di Bandar Perda, di sini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAINPP Datuk Dr Roslan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Datuk Amran Hazali.

Pada sidang media sama, Mohamad turut mengumumkan kadar baharu nisab zakat harta berjumlah RM24,200 berbanding tahun lepas, RM21,650.

Sementara itu, Mohamad berkata tahun lepas ZPP telah berjaya mengagihkan sebanyak RM173.39 juta, meningkat 11.74 peratus berbanding RM155.172 juta pada 2022.

“Bilangan penerima zakat (mustahik) individu dan institusi bagi tahun 2023 adalah sebanyak 43,367 berbanding 40,240 pada 2022, meningkat seramai 3,127 atau 7.7 peratus,” katanya.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan agihan zakat sepanjang 2023 telah mencapai 97.96 peratus, dan jumlah itu mengambil kira agihan semasa sebanyak RM147.4 juta dan jumlah wang zakat sebelum diagihkan pada tahun sebelumnya iaitu RM25.98 juta.

“Jumlah keseluruhan mustahik juga telah meningkat tahun lepas sebanyak 17.75 juta.

“Peningkatan signifikan ini disebabkan ZPP telah menyemak kenaikan maksimum had al-kifayah asnaf dan kenaikan kadar nilai agihan sebanyak RM100 hingga RM700 bagi Skim Agihan Kewangan Bulanan, Agihan Sekali gus, Rawatan Dialisis Bulanan, Skim Sewaab Rumah Asnaf, Skim Nur Ramadan dan Skim Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)