Zuraida serah surat jawapan tunjuk sebab

Zuraida serah surat jawapan tunjuk sebab

KUALA LUMPUR,. Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin hari ini menyerahkan surat jawapan tunjuk sebab kepada Lembaga Disiplin parti itu berhubung dakwaan salah laku disiplin.

Surat jawapan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad di ibu pejabat PKR di sini pada 12.45 tengah hari tadi.

Menurut Nor Hizwan beliau mewakili Zuraida yang perlu hadir mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

“Pihak kami menerima notis (surat tunjuk sebab) daripada Lembaga Disiplin pada 15 Jan lalu dan pada hari ini, tepat 14 hari untuk menjawab surat berkenaan.

“Kami perlu teliti soalan yang dikemukakan, oleh itu kami ambil sedikit masa untuk jawab surat berkenaan dan ia ditulis sendiri oleh Zuraida setelah kami teliti pertuduhan itu,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan surat tunjuk sebab itu.

Nor Hizwan berkata pihak Zuraida kini menyerahkan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim untuk meneliti jawapan tersebut bagi membuat sebarang keputusan.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 18 Jan lalu dilaporkan berkata PKR telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida berhubung dakwaan salah laku disiplin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)