Zurainah sedia bantu siasatan sekiranya ada penyelewengan dana Finas

Zurainah sedia bantu siasatan sekiranya ada penyelewengan dana Finas

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Senator Datuk Seri Zurainah Musa, mengesahkan penamatan lantikannya.

Beliau dalam satu kenyataan berkata telah menerima surat daripada Pejabat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang telah memendekkan tempoh lantikannya sebagai Pengerusi Finas selaras dengan kuasa Menteri di bawah Sekyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Ahli Dewan Negara itu bagaimanapun menafikan tindakan ini ada kaitan dengan tohmahan sesetengah pihak bahawa terdapat penyelewengan dana Finas.

“Kesemua keputusan berkaitan perolehan telah mengikuti tatacara dan tertib Finas malah dibuat secara bersama melalui perbincangan mesyuarat Ahli Perbadanan Finas. Saya bersedia untuk membantu sebarang siasatan jika diperlukan,” katanya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada warga Finas yang telah memberikan sepenuh kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Dalam masa yang sama, adalah menjadi harapan seikhlas hati agar rakan-rakan industri filem yang telah bertemu dan berbincang dengan pihak saya sebelum ini akan terus memberi kerjasama dan membantu Finas mencapai kecemerlangan bersama.

“Saya amat yakin dengan gabungan yang harmoni antara penggerak industri kreatif negara bersama Finas mampu melonjakkan nama Malaysia ke persada antarabangsa,” ujarnya lagi.

Zurainah juga mengingatkan Pengerusi Finas yang bakal dilantik mengenai tanggungjawab besar yang perlu digalas termasuk memperkenalkan geran perfileman, menambah baik kebajikan kru-kru industri, mempromosi Malaysia sebagai destinasi pengambaran dan mengkaji semula amalan birokrasi Finas.

sumber – Irfan Faruqi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)