
Aplikasi mudah alih memudahkan penyaluran minyak bersubsidi kepada nelayan- LKIM
BACHOK,. Kerajaan kini sedang membangunkan sebuah aplikasi mudah alih bagi memudahkan penyaluran minyak bersubsidi kepada nelayan di seluruh negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata aplikasi itu, dijangka boleh digunakan menjelang hujung tahun ini bagi menggantikan penggunaan alat peranti pembantu digital peribadi (PDA), yang digunakan ketika ini.
Beliau berkata buat masa ini, nelayan menggunakan PDA untuk mendapatkan subsidi minyak petrol namun peranti itu telah usang dan sering mengalami kerosakan.
“…dengan aplikasi baharu ini, proses mendapatkan subsidi minyak akan menjadi lebih mudah. Ia membolehkan semakan kelayakan serta jumlah minyak yang diperoleh dilakukan terus melalui telefon bimbit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Rahmah Mesra LKIM bersama Nelayan Bachok di Portable Container System (PCS) Pantai Baru Bachok, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata aplikasi itu juga akan membolehkan proses pemantauan dan audit dilakukan secara langsung, sekali gus membantu mengekang sebarang penyelewengan.
“Menerusi aplikasi ini, kita dapat memantau prestasi nelayan termasuk pengisytiharan hasil tangkapan dan sebagainya. Setakat ini, hampir 40,000 nelayan di seluruh negara layak menerima subsidi minyak, namun jumlah yang diterima bergantung kepada jenis bot yang digunakan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kemudahan PCS, Muhammad Faiz berkata inisiatif itu berjaya menyelesaikan masalah nelayan yang sebelum ini menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan bahan api.
“Sehingga kini, terdapat tujuh PCS beroperasi di seluruh negara. Kita turut merancang untuk membuka satu lagi di Perlis, satu di Terengganu dan tiga di Sabah dalam masa terdekat,” katanya.
–BERNAMA