11 jurnal UMK diiktiraf penerbitan ilmiah berprestasi tinggi oleh Web Of Science

11 jurnal UMK diiktiraf penerbitan ilmiah berprestasi tinggi oleh Web Of Science

BACHOK,. Sebanyak 11 jurnal terbitan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima pengiktirafan tertinggi dalam pangkalan data antarabangsa Web of Science (WoS) sebagai penerbitan ilmiah berimpak tinggi yang diindeks pada bulan April 2020.

Pengarah Bahagian Penerbitan dan Penarafan (PRD) UMK Dr Mohd Asrul Hery Ibrahim berkata, pengiktirafan ini merupakan inisiatif PRD, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), dalam usaha membantu ahli akademik dan penyelidik UMK menghasilkan penyelidikan dan penerbitan jurnal ilmiah berkualiti di Malaysia dan antarabangsa.

Katanya, pihak PRD telah mengambil inisiatif ini dengan memaparkan poster penerbitan artikel dalam jurnal oleh staf akademik UMK melalui platform pangkalan data antarabangsa di WOS pada setiap bulan.

“Sehingga kini, PRD telah mengeluarkan sebanyak empat poster sejak Januari hingga April lalu dan 11 jurnal oleh staf akademik dari empat fakulti iaitu Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) telah berjaya menerbitkan artikel berkaitan dengan bidang kepakaran masing-masing.

“Daripada 11 artikel jurnal tersebut, Pensyarah Kanan FBKT, Dr Mardawani Mohamad antara ahli akademik UMK yang berjaya menerbitkan artikel dalam ‘Jurnal Process’ yang berimpak faktor 1.963 dan dikategorikan dalam Kuartil 2 dalam bidang Kejuruteraan Kimia,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Asrul berkata, penerbitan berkenaan merupakan kerjasama dengan universiti dalam dan luar negara melalui penulisan artikel bertajuk ‘In-Situ Yeast Fermentation Medium in Fortifying Protein and Lipid Accumulations in the Harvested Larval Biomass of Black Soldier Fly’.

“Malah, sebuah lagi artikel oleh pensyarah FIAT, Dr Zuharlida Tuan Harith telah berjaya menerbitkan artikel dalam Jurnal Microorganisms yang berimpak faktor 4.167 dan dikategorikan dalam Kuartil 2 dalam bidang mikrobiologi.

“Penulisan artikel ini turut mendapat kerjasama antara Reading University dan Aberystwyth University menerusi artikel yang membincangkan mengenai penghasilan ‘astaxanthin’ iaitu pigmen semula jadi yang mempunyai fungsi aktiviti antioksidan tinggi dalam ragi,” katanya.

Beliau turut berharap inisiatif oleh PRD ini dapat memberi motivasi dan juga pemangkin kepada staf akademik yang lain untuk sama-sama berjaya menerbitkan dalam jurnal yang berimpak tinggi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )