12 maut dalam letupan gas di China

12 maut dalam letupan gas di China

BEIJING: Sekurang-kurangnya 12 orang terkorban dan hampir 140 orang lagi tercedera apabila sebatang saluran paip gas meletup di sebuah kawasan kediaman di tengah China di wilayah Hubei pada Ahad lepas, menurut pegawai tempatan.

Beberapa pekerja penyelamat tidak pasti berapa ramai lagi yang masih terperangkap di bawah runtuhan, menurut satu kenyataan dari biro pengurusan bencana di bandar Shiyan.

Beberapa video yang dirakamkan oleh saksi dan disahkan oleh Beijing News menunjukkan beberapa buah bangunan telah menjadi runtuhan dan anggota penyelamat membawa mangsa yang terselamat dalam keadaan terkejut dengan menggunakan pengusung.

Letupan berlaku di sebuah pasar sayur yang dipenuhi dengan pembeli dan orang awam yang menikmati sarapan pagi, seorang saksi memberitahu Global Times.

“Saya mendengar satu letupan yang kuat dan segera berlindung di bawah meja, memikirkan ia adalah satu gempa bumi,” seorang lelaki yang memiliki sebuah restoran kecil berhampiran dengan kawasan letupan memberitahu akhbar.

Pihak penyiaran negara CCTV menunjukkan rakaman bangunan dengan dinding yang hangus dan tingkap pecah. Anggota penyelamat dilihat mengangkat konkrit besar bagi mengeluarkan mereka yang terperangkap di bawahnya.

Letupan berlaku di sebuah bangunan dua tingkat yang pada mulanya menempatkan pengeluar rangka kenderaan. Beberapa orang mangsa terselamat memberitahu media tempatan bahawa saluran paip gas telah mengalami kerosakan tanpa dibaiki selepas kilang tersebut dipindahkan pada tahun lepas.

“Pada Mac, para pekerja dari syarikat gas datang dan menanyakan sama ada saya ada menghidu bau gas,” seorang mangsa terselamat yang memiliki sebuah gerai di pasar memberitahu laman sesawang tempatan Health Times.

“Selepas bertanyakan kepada orang di sekeliling, mereka terus pergi.”

Letupan berlaku pada kira-kira jam 6.30 pagi waktu tempatan dan satu siasatan sedang dilakukan bagi menentukan punca letupan, menurut kenyataan tersebut. Kira-kira 900 penduduk di kawasan itu telah dipindahkan ketika bangunan di sekitarnya mungkin telah mengalami kerosakan akibat letupan, menurut kerajaan bandar. Kira-kira 2,000 pekerja penyelamat telah dikerahkan ke kawasan tersebut

Gambar yang disahkan oleh Health Times menunjukkan seorang anggota bomba yang turut tercedera dan sebuah trak bombamengalami kerosakan akibat satu letupan kedua yang lebih kecil. Mangsa yang mengalami kecederaan teruk telah dibawa dengan helikopter ke hospital yang lebih besar. Agensi berita negara Xinhua menyatakan jumlah mangsa yang cedera serius seramai 37 orang.

Barisan panjang anggota sukarelawan telah dilihat di luar bank darah ketika beberapa buah hospital mengeluarkan panggilan untuk penderma.

Kementerian Pengurusan Kecemasan turut menghantar satu pasukan bagi membantu dalam operasi menyelamat.

Dalam satu tindakan yang jarang dilakukan, Presiden China Xi Jinping mengeluarkan satu kenyataan menggesa pihak berkuasa tempatan agar “mempelajari pengajaran jelas daripada insiden tersebut” dan menggandakan usaha bagi mencegah insiden sebegitu lagi.

“Semua wilayah dan jabatan yang berkaitan harus mendapat pengajaran dari satu sama lain… menyiasat beberapa bahaya keselamatan dan mencegah kejadian besar,” jelas beliau. “Mereka yang bertanggungjawab harus ditahan,” Xinhua memetik beliau sebagai berkata.

Kemalangan perindustrian adalah biasa di China disebabkan oleh tahap keselamatan yang lemah dan rasuah dalam kalangan pegawai yang ditugaskan bagi menguatkuasakannya. Letupan berlaku sehari selepas lapan orang terkorban dan tiga orang lagi tercedera ketika toksik ‘methyl formate’ bocor dari sebuah fasiliti pengurusan bahan kimia di bandar barat daya Guiyang.

Satu letupan besar pada 2015 di sebuah gudang bahan kimia di bandar pelabuhan Tianjin membunuh 173 orang dalam salah satu daripada kemalangan perindustrian terburuk di China sejak beberapa tahun lepas.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )