1MDB tandatangan perjanjian US$1 bilion dengan syarikat yang tidak dikenali, mahkamah diberitahu

1MDB tandatangan perjanjian US$1 bilion dengan syarikat yang tidak dikenali, mahkamah diberitahu

KUALA LUMPUR,. Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) diberitahu bahawa 1MDB dengan salah menandatangani perjanjian usaha sama bernilai US$1 bilion dengan sebuah syarikat yang dikatakan dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho or Jho Low.

Dana harta negara telah berunding dengan syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak PetroSaudi International Ltd (PSI) tetapi sebaliknya ia menandangani perjanjian dengan Petro Saudi Holdings (Cayman) Ltd pada 2009.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, memberitahu mahkamah terdapat pasukan peguam Wong & Partners diketuai oleh Casey Tang yang menyemak perjanjian itu dan mereka tidak menunjukkan sebarang keraguan.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian ketika diperiksa balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada hari ke-23 perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee: Kamu pasti telah meneliti perjanjian itu sebelum kamu menandatanganinya. Jika begitu kamu menandatangani bagi US$1 bilion pada 2009. Ini perjanjian yang amat mahal kepada sebuah syarikat lain. Adakah kamu tanya Casey boleh saya tandatangani perjanjian itu?

Kamu CEO, tidakkah kamu akan mengambil tindakan pertama jika berlaku sesuatu yang tidak kena? Bagaimana kamu hendak jelaskan kepada lembaga (1MDB)?

Shahrol Azral: Casey Tang paling berpengalaman dalam 1MDB dan segala-galanya siap teratur dan beliau menunjukkan tidak ada yang tidak kena dengan ini. Casey bertindak dengan Wong & Partners dalam perkara ini.

Muhammad Shafee : Saya akan terkejut jika saya dalam kedudukan kamu kecuali jika saya pastikan kesahihannya. Adakah kamu meminta penjelasan selanjutnya?.

Shahrol Azral: Saya dapatkan penjelasan dengan Casey.

Muhammad Shafee : Dan kamu agak senang dengan itu?

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee : Saya andaikan pada pemahaman kamu kemudian, adakah kamu setuju ini keputusan tidak bijak?

Shahrol Azral : Pada pemahaman kemudian, saya mungkin telah lakukan perkara cara berlainan tetapi saya tidak kata ia keputusan tidak bijak. Saya bergantung pada Casey. Casey nasihatkan saya buat begitu.

Muhammad Shafee : Ada kamu periksa perkara ini dengan Wong & Partners, umpamanya pendapat bertulis dalam perkara ini?

Shahrol Azral : Tidak.

Muhammad Shafee : Jika kamu telah lakukan begitu, kamu mungkin tidak dicurigai? Betul?.

Shahrol Azral : Betul.

Najib, 66, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok dengan timbalan pendakwa raya kanan dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )