31 individu ditahan disyaki teroka NR-REE secara haram di Perak

31 individu ditahan disyaki teroka NR-REE secara haram di Perak

IPOH, Seramai 31 individu termasuk 21 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan yang merupakan kerjasama pihaknya dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) melalui Op Khazanah itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan.

Beliau berkata pada 8 Dis lepas dalam serbuan yang dilakukan di hutan simpan itu kira-kira pukul 3.30 petang telah berjaya menahan 28 individu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sembilan daripada yang ditahan merupakan warga tempatan dan selebihnya warga asing, kita juga turut melakukan tangkapan susulan terhadap tiga lagi suspek iaitu seorang warga tempatan dan dua lagi warga asing di lokasi berasingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya warga asing yang ditahan berusia antara 23 hingga 69 tahun terdiri daripada 16 lelaki warganegara China, tiga lelaki dan satu wanita Myanmar serta seorang wanita warga Vietnam.

“Semakan juga mendapati kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya.

Katanya, kesemua suspek warga tempatan telah direman selama tiga hari manakala warga asing akan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51 (5) (B) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun siasatan bagi kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) akan dilakukan oleh JPNPk untuk pendakwaan berasingan, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)