4 Ciri Canggih Teknologi Kereta Api Shinkansen

4 Ciri Canggih Teknologi Kereta Api Shinkansen

Kereta api merupakan sebuah kenderaan yang bergerak di atas landasan untuk membawa penumpang dan beberapa unit gerabak bagi tujuan tertentu. Menurut sejarah, landasan dan kereta api pertama di dunia dicipta oleh George Stephenson yang menyambungkan perjalanan dari bandar Stockton dengan Darlington, England pada 1825.

Ketika itu, teknologi enjin wap dan arang kayu digunakan bagi menggerakkan kenderaan tersebut. Kini dengan teknologi yang kian maju, ia sudah menjadi kenderaan awam dan alat penghantaran barang yang mampu membawa bilangan besar penumpang serta barangan ke destinasi yang dikehendaki.

Malah kelajuan sesebuah kereta api juga telah dipertingkatkan bagi menjimatkan masa perjalanan. Segmen Teknovasi hari ini berkongsi empat ciri teknologi yang ada pada perkhidmatan kereta api laju yang terkenal di Jepun bernama Shinkansen atau lebih popular digelar kereta api peluru.

Bentuk Badan kereta api
Kereta api peluru merupakan antara kereta api yang terlaju di dunia dan ia direkodkan mampu memecut sehingga 320 km/j. Jika dilihat pada reka bentuknya, gerabak di bahagian pemandu seakan-akan sebutir peluru. Ini menyebabkan ia digelar sedemikian.

Rekaan ini membantu kereta api tersebut bergerak dengan pantas kerana ia berbentuk tirus di bahagian hadapan. Keadaan tersebut menyebabkan ia tidak akan menahan atau memberi rintangan terhadap aliran angin ketika memecut dan memecahkan ruangan udara dengan mudah.

Jadi tidak hairanlah dengan gerabak yang dipenuhi penumpang, ia masih mampu memecut pantas sehingga 200 km/j.

Kurang Bergetar
Getaran pada sesebuah keretapi akan terjadi jika kenderaan ini berada dalam kelajuan yang maksimum. Ia akan menyebabkan pergerakan menjadi sedikit perlahan apatah lagi jika gerabak dipenuhi oleh penumpang.

Namun kereta api peluru telah dilengkapi teknologi spring udara yang canggih dan akan menyerap getaran di bahagian roda hadapan supaya ia tidak sampai ke ruang penumpang. Maka penumpang akan terasa seperti menaiki kenderaan di atas jalan yang rata dan dapat duduk atau berdiri di dalam gerabak dengan tenang

Landasan Moden
Landasan juga merupakan komponen yang boleh mempengaruhi kelajuan kereta api ini. Sehingga pembinaan kereta api peluru, Jepun telah menggunakan spesifikasi landasan yang lebih lebar dan beranggapan ia mampu menampung penumpang dan barangan dengan lebih banyak.

Pembinaan bentuk landasan ini mempunyai lebar yang lebih besar sehingga 1,435 mm. Tambahan lagi, trek yang ada di Jepun juga tidak mempunyai lencongan yang tajam dan setiap landasan perjalanan tidak akan dikongsi bersama kereta api lain yang menuju arah bertentangan.

Jadi kereta api ini tidak perlu berhenti seketika untuk memberi lalu kepada kereta api yang lain dan menjimatkan masa.

Sistem Pengawalan Automatik (ATC)
Semasa dalam perjalanan, kebanyakan pemandu kereta api akan bersedia menerima isyarat pergerakan daripada pusat perkhidmatan bertujuan untuk melaraskan kelajuan pada titik tertentu. Berbeza dengan kereta api peluru, teknologi sistem pengawalan automatik (ATC) digunakan pada setiap hari.

Hampir sepanjang perjalanan pemandu tidak perlu membaca paparan isyarat yang ada kerana ia telah dirancang dan ditetapkan sebelum bergerak. Jadi di setiap titik perjalanan yang perlu dilaraskan kelajuannya, ia akan bertukar secara automatik.

Walau bagaimanapun, setiap maklumat akan terpapar di skrin pemandu sebagai rujukan.

Tambahan pula, ia bergantung juga pada pusat kawalan trafik di ibu pejabat untuk menetapkan masa perjalanan yang efektif supaya kenderaan ini dapat memecut dengan laju dan selamat serta tepat dengan masa ketibaan.

– Getaran

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)