Usia 102 tahun, Tok Saimah pilih makanan rebus untuk kekal sihat

HomeFeaturedGaya Hidup

Usia 102 tahun, Tok Saimah pilih makanan rebus untuk kekal sihat

KLUANG,. Tatkala ramai seusianya memerlukan penjagaan rapi, Saimah Sajiman membuktikan usia hanyalah angka apabila wanita berusia lebih seabad itu ma

Piala Thomas: Penyertaan Zii Jia dijangka diketahui seminggu lagi
Standard penjagaan kebangsaan warga emas dan OKU dijangka dilancarkan pada Oktober – Nancy
Bursa dibuka tinggi pada pagi ini

KLUANG,. Tatkala ramai seusianya memerlukan penjagaan rapi, Saimah Sajiman membuktikan usia hanyalah angka apabila wanita berusia lebih seabad itu masih mampu mengurus diri sendiri dan menikmati kehidupan tanpa penyakit kronik.

Lebih mesra disapa Tok Saimah, 102, warga emas dari Kampung Rahmat, Sri Lalang di sini percaya antara amalan membantunya kekal sihat ialah menjaga pemakanan dengan mengutamakan makanan rebus berbanding bergoreng atau berminyak.

“Bukannya Tok tak makan makanan bergoreng tetapi lebih gemar yang direbus seperti sayur bening, ikan pais serta ulam-ulaman sayur kampung,” katanya ketika ditemui BERNAMA di kediamannya semalam.

Wanita kelahiran 1924 yang aktif berkebun ketika usia muda itu berkata dia juga menjaga waktu makan dengan mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam pada waktu hampir sama setiap hari.

“Bagi sarapan, saya akan ambil makanan untuk alas perut, kebiasaannya sebelum solat duha antara 8 hingga 9 pagi. Makan tengah hari sebelum zuhur dan makan malam sebelum isyak,” katanya.

Anaknya Fatimah Surip, 78, berkata dia bersyukur kerana ibunya yang mempunyai lebih 20 cucu dan 50 cicit itu masih dikurniakan kesihatan baik serta mampu berdiri ketika menunaikan solat.

“Ibu saya tidak menghidap penyakit kronik, cuma ada sedikit masalah pendengaran. Kalau mahu berbual kena cakap kuat sedikit, selain dia lebih gemar menggunakan kerusi roda untuk bergerak,” katanya.

Tok Saimah sebelum ini mendapat perhatian di media sosial selepas menerima kunjungan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di kediamannya Ahad lepas.

Fatimah berkata selain usia ibunya melangkaui 100 tahun, pengalaman hidup melalui beberapa zaman seperti pendudukan Jepun, penjajahan British dan ancaman pengganas komunis antara perkara yang menarik perhatian Seri Paduka Baginda ketika kunjungan berkenaan.

— BERNAMA