MALAYSIA, AUSTRALIA TUBUH JAWATANKUASA PERANCANGAN STRATEGIK PERKUKUH KERJASAMA PERTAHANAN

HomeFeaturedBerita Semasa

MALAYSIA, AUSTRALIA TUBUH JAWATANKUASA PERANCANGAN STRATEGIK PERKUKUH KERJASAMA PERTAHANAN

KUALA LUMPUR,. Malaysia dan Australia bersetuju meningkatkan hubungan pertahanan dua hala menerusi penubuhan Jawatankuasa Perancangan Strategik (SPC)

Jadikan perpustakaan rumah kedua, teladan baik anak-anak – Saraswathy
Ribut petir, hujan lebat di beberapa negeri hingga 1 tengah hari – MetMalaysia
Dr. Fatimah Sabrina terima AIKON UiTM 2025

KUALA LUMPUR,. Malaysia dan Australia bersetuju meningkatkan hubungan pertahanan dua hala menerusi penubuhan Jawatankuasa Perancangan Strategik (SPC) bagi memperkukuh kerjasama pertahanan.

Kesepakatan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Australia-Malaysia keenam di Geelong, Australia, yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles.

Dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat itu, kedua-dua menteri menegaskan kembali kekuatan hubungan pertahanan dua hala yang terjalin berlandaskan kepercayaan, saling menghormati serta komitmen bersama terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta pemusatan ASEAN sejak berdekad lamanya.

“Menteri bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pertahanan Malaysia-Australia, dan langkah pertama adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa Perancangan Strategik, yang akan bersidang secepat mungkin bagi memacu bidang keutamaan kerjasama pertahanan secara praktikal serta menyelia pelaksanaannya,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua menteri turut menyambut baik usaha memperkukuh kerjasama di bawah Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP), termasuk Eksesais Keris Strike 2026 di Sabah, peluasan kolaborasi maritim dan pasukan khas, selain peningkatan peluang dalam pendidikan ketenteraan profesional dan pertukaran anggota.

Kedua-dua pihak turut menegaskan mengenai kepentingan Operation Gateway yang menyokong keselamatan dan kestabilan serantau melalui peningkatan kesedaran domain maritim, serta bersetuju meneroka kaedah untuk memperkukuh operasi ini menerusi kebolehoperasian dan integrasi yang lebih tinggi antara Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Australia.

Selain itu, kedua-dua negara memeterai Malaysia-Australia Mutual Logistics Support Arrangement (MLSA) yang diperbaharui bagi memperkukuh kerjasama pertahanan secara praktikal serta menyokong pelbagai aktiviti dua hala, serantau dan pelbagai hala.

MLSA yang diperbaharui itu akan meningkatkan keupayaan kedua-dua angkatan pertahanan untuk bekerjasama, memperkukuh sokongan logistik dan kebolehoperasian serta memudah cara pelaksanaan latihan, operasi dan penglibatan pada masa hadapan.

Mengenai infrastruktur, kemajuan ketara dicapai dalam kerja-kerja naik taraf dan pemulihan landasan di Pangkalan Udara Butterworth, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang dijangka siap menjelang akhir 2026.

Satu majlis akan diadakan bagi menandakan penyempurnaan kerja berkenaan, dan Pangkalan Udara Butterworth TUDM kekal sebagai platform utama bagi kerjasama pertahanan dua hala, penglibatan serantau dan aktiviti Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Sementara itu, Malaysia dan Australia akan meneroka penubuhan Kumpulan Kerja Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan bagi mengenal pasti projek khusus berkaitan industri pertahanan yang boleh memberikan manfaat bersama.

Kedua-dua menteri turut mengalu-alukan misi perdagangan industri pertahanan Australia ke Malaysia dalam masa terdekat bagi meneroka peluang kerjasama, menyokong pembangunan keupayaan dan memperkukuh hubungan industri pertahanan jangka panjang.

Dalam bidang keselamatan siber, mereka menyambut baik peningkatan penglibatan secara praktikal antara kedua-dua negara bagi menangani ancaman siber yang kian kompleks mencabar serta komited untuk memperkukuh kerjasama dalam keselamatan dan daya tahan siber.

“Menteri menyatakan kebimbangan serius terhadap aktiviti siber berniat jahat yang terus berlaku, termasuk kecurian berskala besar yang menyasarkan bank dan institusi kewangan lain di seluruh Indo-Pasifik … ,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kedua-dua menteri menegaskan komitmen bersama terhadap visi membentuk rantau Indo-Pasifik yang terbuka, stabil, makmur, inklusif dan berdaya tahan.

Mereka juga menyokong pemusatan ASEAN serta pembentukan acuan serantau yang diterajui ASEAN, bersifat terbuka, inklusif, telus, berdaya tahan dan berasaskan peraturan.

Kedua-dua menteri turut mengalu-alukan kerjasama berterusan di bawah ASEAN Outlook mengenai Indo-Pasifik daripada perspektif pertahanan, termasuk kerjasama praktikal dalam keselamatan maritim dan siber, serta bantuan kemanusiaan dan bencana.

Selain itu, kedua-dua pihak turut mengiktiraf peranan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) dan Kumpulan Kerja Pakar dalam menggalakkan kestabilan serantau.

Mesyuarat HLC keenam itu menandakan kemuncak lawatan kerja tiga hari Mohamed Khaled ke Australia, yang menumpukan kepada penilaian kemajuan kerjasama pertahanan dan menentukan hala tuju masa hadapan hubungan pertahanan dua hala, susulan HLC kelima yang diadakan di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2025.

— BERNAMA