NAGOYA,. Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Sukan Asia Aichi-Nagoya Mohammad Tayyab Ikram pada Jumaat memberi jaminan isu penginapan atlet telah dis
NAGOYA,. Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Sukan Asia Aichi-Nagoya Mohammad Tayyab Ikram pada Jumaat memberi jaminan isu penginapan atlet telah diselesaikan, selepas timbul laporan bahawa sebahagian peserta berdepan masalah penempatan, lapor Kyodo News.
Ikram, yang juga anggota Majlis Olimpik Asia (OCA), badan penganjur Sukan Asia, berkata pada sidang media di Nagoya, ibu negeri Wilayah Aichi, bahawa urusan penempatan telah diselesaikan.
“Setiap atlet dan peserta mempunyai tempat penginapan masing-masing dan mereka selesa dengannya,” kata beliau.
Perkampungan atlet tidak dibina bagi temasya yang membuka tirai pada Sabtu itu sebagai langkah penjimatan kos.
Sebaliknya, atlet ditempatkan di sebuah kapal persiaran di Garden Pier, Pelabuhan Nagoya, selain penginapan berkonsepkan kontena dan hotel.
Ikram berkata pasukan OCA turut berada di Garden Pier pada pagi Jumaat dan menggesa orang ramai melihat sendiri kemudahan berkenaan sebelum membuat penilaian terhadap penginapan berkonsepkan kontena.
Menurut beliau, kemudahan itu berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk atlet.
“Kami tidak mahu membina kemudahan yang akhirnya tidak dimanfaatkan selepas temasya ini.
“Perbincangan mengenainya bukan mudah, tetapi ia juga bukan satu kompromi kerana kami akhirnya menemukan beberapa alternatif yang sangat unik.
“Kami berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh rakan-rakan kami di Nagoya,” katanya.
Jumlah atlet meningkat daripada 15,000 yang dirancang pada awalnya kepada lebih 17,000.
— BERNAMA-KYODO

