Penyu belimbing mendarat, bertelur kali ketiga di pantai Terengganu

HomeBerita SemasaBusiness

Penyu belimbing mendarat, bertelur kali ketiga di pantai Terengganu

DUNGUN,. Seekor penyu belimbing kembali mendarat dan bertelur sebanyak 70 biji di Pantai Kuala Abang di sini awal pagi tadi.Pengarah Jabatan Perik

31 aktivis cedera semasa pintasan Israel terhadap Flotila bantuan ke Gaza
MOTAC: Menghargai usaha komuniti menyambut PraGawai kekayaan budaya serta keunikan tradisi
ASEAN kekal platform penting bagi keamanan, kestabilan serantau – Menteri Luar Kemboja

DUNGUN,. Seekor penyu belimbing kembali mendarat dan bertelur sebanyak 70 biji di Pantai Kuala Abang di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Pang Nyukang berkata pendaratan itu merupakan kali ketiga melibatkan spesies penyu terbesar di dunia berkenaan direkodkan di pantai Terengganu bulan ini.

Beliau berkata ibu penyu berkenaan ditemukan mendarat oleh pemajak telur penyu di Pantai Kuala Abang pada kira-kira 2 pagi dan haiwan itu kembali ke laut selepas bertelur kira-kira 5.30 pagi.

“Ibu penyu itu berukuran 2.15 meter panjang dan 1.15 meter lebar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pang berkata telur penyu berkenaan telah dikutip petugas Jabatan Perikanan pada 6 pagi tadi untuk dieram di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu di Rantau Abang, dekat sini.

“Telur penyu belimbing yang dieram itu dijangka menetas dalam tempoh 50 hingga 70 hari,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ibu penyu berkenaan merupakan penyu sama yang mendarat dan bertelur di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 September lepas dan Pantai Rantau Abang pada 13 September.

Untuk rekod, pendaratan penyu belimbing di Terengganu sebelum ini direkodkan kali terakhir pada 2017, menjadikan tiga pendaratan yang berlaku bulan ini sebagai perkembangan penting dalam usaha pemuliharaan spesies berkenaan di negeri itu.

— BERNAMA