Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS ketika dibuka pagi ini, mengambil kesempatan daripada kelemahan nilai dolar selepas hasil Perbendaharaan AS menyusut di bawah paras 1.6 peratus, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1020/1070 berbanding dolar AS daripada 4.1080/1130 semasa ia ditutup Jumaat minggu lalu.

Penganalisis itu berkata ringgit turut disokong oleh data ekonomi China yang kukuh, diikuti dengan eksport dan keyakinan perniagaan yang kian meningkat berikutan hubungan ekonomi yang mantap antara Malaysia dan China.

Ekonomi China terus berkembang pesat pada April berbanding pertumbuhan dalam suku pertama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.0935/0975 daripada 3.0936/0978 tetapi lebih tinggi berbanding yen kepada 3.8034/8088 daripada 3.8069/8119.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6969/7042 daripada 5.7007/7093 tetapi menyusut berbanding euro kepada 4.9655/9732 daripada 4.9522/9595.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )