JEDDAH,. Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terus mempergiat usaha mempertingkat kualiti perkhidmatan umrah menerusi pengukuhan kerjasama dengan sy
JEDDAH,. Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terus mempergiat usaha mempertingkat kualiti perkhidmatan umrah menerusi pengukuhan kerjasama dengan syarikat-syarikat umrah tempatan, selaras dengan usaha memperkaya pengalaman jemaah dan pengunjung sepanjang perjalanan mereka di negara itu.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), usaha berkenaan dibincangkan dalam pertemuan berkala Kementerian Haji dan Umrah bersama syarikat-syarikat umrah tempatan yang dihadiri Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfiq bin Fawzan Al-Rabiah, selain beberapa pegawai kanan kementerian serta wakil syarikat tempatan dan antarabangsa.
Pertemuan itu bertujuan memperkukuh komunikasi secara langsung dengan rakan strategik sektor berkenaan, membincangkan perkembangan terkini musim umrah dan cabaran yang dihadapi, selain meneroka peluang untuk membangunkan perkhidmatan kepada jemaah umrah dan para pengunjung.
Dr. Al-Rabiah merakamkan penghargaan terhadap usaha syarikat-syarikat umrah serta sumbangan mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada tetamu Allah. Beliau menegaskan kepentingan meneruskan usaha penambahbaikan perkhidmatan serta memperkaya pengalaman jemaah dan pengunjung melalui pelaksanaan inisiatif dan program berkualiti yang memenuhi keperluan mereka pada setiap peringkat perjalanan, bermula dari ketibaan di Arab Saudi sehingga berangkat pulang.
Beliau turut menekankan keperluan meneruskan usaha meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan dan arahan yang ditetapkan, di samping memastikan pemantauan berterusan terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah umrah dan pengunjung. Langkah itu dilihat penting bagi memperkukuh kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan.
Pertemuan tersebut turut membincangkan perkembangan utama sektor umrah, tahap kesiapsiagaan menghadapi musim berkenaan serta peluang untuk membangunkan perkhidmatan dan meningkatkan pengalaman tetamu Allah. Menteri Haji dan Umrah juga mendengar pandangan serta cadangan daripada syarikat-syarikat umrah berkaitan usaha tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa perjanjian turut dimeterai dengan sejumlah platform pelancongan nasional bagi menyediakan perkhidmatan kepada jemaah umrah dari dalam dan luar Arab Saudi. Beberapa syarikat yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam memberikan perkhidmatan kepada jemaah umrah dan pengunjung Masjid Nabawi turut diberikan penghargaan.
Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Haji dan Umrah untuk memperkukuh integrasi peranan bersama penyedia perkhidmatan serta memantapkan kerjasama dan komunikasi berterusan dengan syarikat-syarikat umrah Arab Saudi.
Langkah berkenaan bertujuan memperkasa ekosistem umrah dan ziarah serta meningkatkan pengalaman tetamu Allah, selaras dengan sasaran Program Khidmat Tetamu Allah, yang merupakan salah satu program di bawah Visi Arab Saudi 2030.
— BERNAMA-SPA

