KUALA LUMPUR,. Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dijangka dibentangkan p
KUALA LUMPUR,. Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Disember ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata kementerian itu sedang giat berusaha melengkapkan siri libat urus secara komprehensif dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan RUU itu mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara sebelum dibentangkan ke Parlimen.
“Dari segi garis masa, kita akan cuba berusaha untuk sama ada boleh kita lakukan bacaan pertama. Mungkin dalam sidang Parlimen bulan Disember tetapi saudara-saudari harus ingat, ia (RUU) akan melibatkan libat urus yang sangat besar,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Penutup Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026 di sini hari ini.
Zambry berkata penggubalan RUU untuk menggantikan AUKU bukan sekadar tertumpu kepada isu kebebasan mahasiswa, sebaliknya merangkumi struktur pentadbiran, tadbir urus universiti serta aspek akademik secara menyeluruh.
Beliau berkata di dalam AUKU, terdapat 44 seksyen dengan tujuh daripadanya melibatkan mahasiswa manakala yang lain perkara berkaitan penubuhan dan tadbir urus universiti, akademik serta lain-lain.
“Kita faham, apabila kita mahu buat sesuatu akta baharu, mesti mengambil kira keseluruhan aspek ekosistem yang ada di dalam sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.
Zambry berkata siri libat urus terbaharu diadakan bersama-sama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mendapatkan maklum balas daripada wakil kerajaan dan pembangkang.
Mengenai Belanjawan 2027, Zambry menaruh harapan agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima pertambahan peruntukan bagi menyokong pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia.
— BERNAMA

