INDONESIA PERCEPAT PENDIDIKAN AWAM, YURAN UNIVERSITI PERCUMA

HomeFeaturedBerita Semasa

INDONESIA PERCEPAT PENDIDIKAN AWAM, YURAN UNIVERSITI PERCUMA

JAKARTA,. Indonesia sedang mempercepat pelaksanaan pendidikan percuma di kira-kira 164,000 sekolah awam seluruh negara, merangkumi peringkat pendidika

Era AS subsidi pertahanan “negara kaya” sudah berakhir, kata Hegseth
Bank Dunia kekal komited sokong agenda kerajaan digital Malaysia
Kerjasama KPKM, agensi berkaitan pastikan pelaksanaan bantuan pesawah, pekebun kecil capai matlamat

JAKARTA,. Indonesia sedang mempercepat pelaksanaan pendidikan percuma di kira-kira 164,000 sekolah awam seluruh negara, merangkumi peringkat pendidikan awal kanak-kanak hingga sekolah menengah atas, sambil memuktamadkan rancangan berasingan untuk menghapuskan yuran pengajian universiti awam.

Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya berkata Presiden Prabowo Subianto mengeluarkan arahan itu semasa mesyuarat Kabinet khas mengenai pendidikan sebagai sebahagian usaha meluaskan akses kepada pendidikan.

“Pelaksanaan pendidikan percuma di sekolah awam meliputi pendidikan awal kanak-kanak dan tadika, sekolah rendah, sekolah menengah pertama, sekolah menengah atas serta sekolah vokasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Teddy berkata kerajaan juga akan meluangkan masa dua hingga empat minggu akan datang untuk memuktamadkan rancangan bagi universiti awam tanpa yuran pengajian, termasuk menghapuskan yuran pengajian biasa dan yuran kemasukan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Brian Yuliarto berkata beberapa pilihan sedang dipertimbangkan bagi rancangan universiti tersebut, termasuk bagaimana kerajaan akan menampung kehilangan hasil yuran pengajian bagi saluran kemasukan bebas serta sumber pendapatan lain yang kini digunakan untuk membiayai operasi universiti.

“Presiden mahu program pendidikan percuma ini dilaksanakan secepat mungkin. Bagaimanapun, sudah tentu kita akan melaluinya secara berperingkat, bukan serta-merta,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Beliau berkata satu pasukan khas diketuai Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Pratikno, akan menilai lanjut kos dan peringkat pelaksanaan dalam tempoh dua minggu hingga sebulan akan datang.

Bagi komponen sekolah awam, Timbalan Menteri Kewangan Suahasil Nazara berkata tiada peruntukan tambahan akan diwujudkan, sebaliknya pembiayaan untuk program pendidikan percuma itu akan diambil daripada peruntukan pendidikan sebanyak Rp820.9 trilion (Rp1 juta = RM229.10) dalam cadangan belanjawan negara 2027.

“Belanjawan negara sentiasa memperuntukkan 20 peratus untuk pendidikan. Oleh itu, persoalannya adalah bagaimana untuk merangka penggunaan belanjawan ini dengan sebaiknya, memandangkan jumlahnya melebihi Rp800 trilion,” katanya pada sidang media yang sama.

— BERNAMA