SINGAPURA SERTAI MALAYSIA, BRUNEI, INDONESIA CALONKAN ZAPIN UNTUK SENARAI WARISAN UNESCO

HomeFeaturedBerita Semasa

SINGAPURA SERTAI MALAYSIA, BRUNEI, INDONESIA CALONKAN ZAPIN UNTUK SENARAI WARISAN UNESCO

SINGAPURA,. Singapura bersama Malaysia, Brunei, dan Indonesia akan dicalonkan secara bersama bagi mengangkat zapin – seni persembahan tradisional Mel

FINAS RESTORASI 150 JAM KHAZANAH AUDIOVISUAL, HIDUPKAN SEJARAH VISUAL NEGARA
Ribut petir, hujan lebat berpanjangan dijangka landa Sabah, Sarawak
UNESCO sahkan Beijing sebagai “Ibu Kota Seni Bina Dunia” 2029

SINGAPURA,. Singapura bersama Malaysia, Brunei, dan Indonesia akan dicalonkan secara bersama bagi mengangkat zapin – seni persembahan tradisional Melayu – untuk disenaraikan dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan Pertubuhan Pelajaran, Sains, Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Lembaga Warisan Negara (NHB) Singapura memaklumkan bahawa empat negara peserta berkenaan berhasrat mengemukakan fail pencalonan itu kepada UNESCO pada Mac 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif NHB Chang Hwee Nee berkata pencalonan berbilang negara itu menyerlahkan kepentingan budaya zapin bagi komuniti di Singapura dan di seluruh rantau ini.

“Kami berharap kejayaan penting ini akan memberi inspirasi kepada generasi baharu pengamal untuk mengekalkan bentuk tarian yang dihargai ini sebagai sebahagian daripada warisan hidup kita, di samping menggalakkan rakyat Singapura meneroka serta menghargai tradisinya yang kaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

NHB berkata pencalonan berkenaan bukan kali pertama Singapura dicalonkan secara bersama bagi seni persembahan ke Senarai Wakil UNESCO, sekali gus menjadi pencalonan keempatnya dalam senarai itu.

Pencalonan pertama Singapura ke ICH UNESCO ialah budaya penjaja, diikuti kebaya yang dicalonkan secara bersama dengan Brunei, Malaysia, Indonesia, dan Thailand yang berjaya disenaraikan pada 2024.

Pencalonan ketiga, Chingay, merupakan pencalonan bersama Malaysia yang telah dikemukakan kepada UNESCO dan kini sedang menunggu penilaian.

“Di kesemua empat negara, komuniti pengamal zapin yang aktif terus mempersembahkan dan memindahkan seni persembahan yang signifikan dari segi budaya ini daripada satu generasi ke satu generasi.

“Pencalonan berbilang negara ini memberi peluang kepada keempat-empat negara untuk memperkukuh hubungan budaya serta meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam mempromosikan zapin dan pengamalnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut NHB, zapin dikekalkan secara aktif menerusi penyertaan komuniti dan pendidikan yang kukuh di Singapura.

Kumpulan seni persembahan tradisional Melayu memainkan peranan penting sebagai teras komuniti berterusan, dalam membimbing generasi peminat zapin seterusnya dan kerap mempersembahkan zapin kepada orang ramai dengan lebih meluas.

“Selain penyediaan fail pencalonan, NHB akan bekerjasama rapat dengan komuniti bagi menyokong serta mempromosikan inisiatif jangkauan awam akan datang.

Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan penyertaan awam terhadap zapin dalam kalangan rakyat Singapura daripada pelbagai latar belakang, di samping menggalakkan orang ramai terlibat dalam memelihara serta merayakan warisan kehidupan Singapura yang pelbagai,” katanya.

— BERNAMA