KUALA LUMPUR,. Pembukaan Pavilion Libya pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-22 (MIHAS 2026) dijangka membuka peluang baharu bagi perniagaan Ma
KUALA LUMPUR,. Pembukaan Pavilion Libya pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-22 (MIHAS 2026) dijangka membuka peluang baharu bagi perniagaan Malaysia dan Libya untuk mengembangkan perdagangan masing-masing.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan hari ini, eksport Malaysia ke Libya meningkat 73.4 peratus tahun ke tahun kepada RM106.5 juta dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, merangkumi jentera, peralatan dan alat ganti, produk kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata momentum pertumbuhan dalam hubungan ekonomi Malaysia-Libya itu ditunjukkan menerusi perdagangan dua hala, yang mencecah RM1.03 bilion pada 2025, iaitu peningkatan 38.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketika merasmikan Pavilion Libya itu, beliau berkata pavilion tersebut bukan sekadar ruang pameran, malah menyifatkannya sebagai koridor perdagangan dua hala.
“Ia merupakan satu jambatan, iaitu pintu masuk ke Afrika Utara dan rantau Mediterranean bagi Malaysia dan ASEAN, selain sebagai landasan untuk menembusi pasaran ekonomi halal Asia bagi rakan-rakan kita di Libya.
“Dengan mengintegrasikan sektor swasta Libya yang sedang berkembang ke dalam ekosistem halal sistem pensijilan, jaminan kualiti dan infrastruktur perdagangan Malaysia, kita mampu membina rantaian bekalan yang cukup kukuh untuk memenuhi keperluan seluruh dunia Islam,” katanya.
Tambah Reezal Merican, ia selaras dengan cadangan Malaysia pada September 2027 untuk menubuhkan Majlis Halal ASEAN dan antara usaha bagi merealisasikan idea penubuhan majlis halal serantau itu sebagai satu institusi yang berfungsi.
Sementara itu, menurut MATRADE, Misi Pecutan Eksport ke Tripoli pada Mei 2024, yang melibatkan 10 syarikat Malaysia telah berjaya menjana peluang perniagaan bernilai hampir RM250 juta.
Tambah agensi itu, penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa Tripoli pada awal tahun ini telah membantu mengekalkan momentum tersebut dan membuka laluan bagi kehadiran pavilion negara itu sepenuhnya di MIHAS 2026.
Pavilion Libya merupakan anjuran bersama Dewan Perniagaan, Industri dan Pertanian Tripoli serta Pihak Berkuasa Umum bagi Pameran dan Persidangan.
Dalam pada itu, Reezal Merican mengesahkan semula komitmen MATRADE untuk memudahkan akses pasaran bagi kedua-dua wilayah.
“MATRADE bersedia sepenuhnya untuk membantu perusahaan Libya menembusi pasaran ASEAN, sebagaimana kami berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan merebut peluang yang ditawarkan oleh Libya,” tambah beliau.
MIHAS 2026 yang bertemakan ‘Membina Kepercayaan, Memacu Daya Tahan’ telah berjaya menghimpunkan 2,000 pempamer dari 58 negara dan dijangka menjana jualan perdagangan bernilai RM5 bilion.
“Memandangkan Malaysia menyasarkan nilai eksport halal sebanyak RM80 bilion menjelang 2030, penyertaan aktif daripada rakan kongsi antarabangsa seperti Libya, memainkan peranan penting dalam membina rantaian bekalan halal global yang berdaya tahan.
“Dari segi penyertaan mengikut wilayah, Asia Timur Laut dan ASEAN menjadi penggerak utama kepada kumpulan pembeli, diikuti rapat oleh peningkatan penyertaan dari Afrika sebagai pasaran pertumbuhan bukan tradisional yang penting,” menurut MATRADE.
— BERNAMA

