FRANKFURT (JERMAN),. Sebuah pesawat Lufthansa dalam penerbangan dari Frankfurt ke Lisbon dilencongkan ke Lyon, Perancis selepas sebuah bank kuasa mili
FRANKFURT (JERMAN),. Sebuah pesawat Lufthansa dalam penerbangan dari Frankfurt ke Lisbon dilencongkan ke Lyon, Perancis selepas sebuah bank kuasa milik penumpang terbakar di dalam pesawat, menurut syarikat penerbangan itu kepada Agensi Berita Jerman (dpa) pada Ahad.
Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat di Lyon kira-kira 10 malam Sabtu waktu tempatan (2000 GMT), menurut syarikat penerbangan nasional Jerman itu.
Lufthansa memaklumkan kru penerbangan LH1170 sebelum itu telah memasukkan bank kuasa berkenaan ke dalam beg keselamatan khas untuk bateri litium.
Seramai 198 penumpang dan enam kru ditempatkan di hotel semalaman sebelum meneruskan perjalanan ke Lisbon dengan penerbangan alternatif pada keesokan harinya.
Kejadian itu merupakan insiden kedua pada hujung minggu membabitkan pesawat Lufthansa yang berlepas dari Frankfurt.
Dalam satu lagi insiden pada Sabtu, penerbangan Lufthansa dari Frankfurt ke Toronto yang membawa 371 penumpang berpatah balik ketika berada di ruang udara Scotland sebelum mendarat di Manchester selepas bau dikesan di dalam kabin.
— BERNAMA-dpa

