SERANGAN SIBER PASAR RAYA EROPAH: MALAYSIA PERLU PERKUKUH SISTEM KESELAMATAN – PAKAR

HomeFeaturedJenayah

SERANGAN SIBER PASAR RAYA EROPAH: MALAYSIA PERLU PERKUKUH SISTEM KESELAMATAN – PAKAR

KUALA LUMPUR,. Malaysia perlu memperkukuh daya tahan operasi terhadap ancaman siber susulan serangan ke atas sistem penyejukan pasar raya di Eropah ba

Perjanjian buka semula Selat Hormuz mungkin dicapai tidak lama lagi – Trump
Ponggal diraikan penuh tradisi, erat hubungan kekeluargaan
MAJLIS HALAL MALAYSIA-INDONESIA DITUBUH, MESYUARAT PERTAMA OKTOBER – AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR,. Malaysia perlu memperkukuh daya tahan operasi terhadap ancaman siber susulan serangan ke atas sistem penyejukan pasar raya di Eropah baru-baru ini yang mendedahkan kelemahan sistem saling berhubung dan berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan, menurut seorang pakar keselamatan siber.

Profesor Adjung Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMY) Murugason R. Thangaratnam berkata penggodam tidak memerlukan kemahiran penggodaman yang canggih untuk melancarkan serangan kerana sistem yang digunakan dalam operasi harian seperti pengawal penyejukan, pengurusan bangunan dan platform pemantauan lebih mengutamakan kemudahan penggunaan serta kelancaran operasi berbanding keselamatan.

“Apabila peralatan ini disambungkan ke Internet, ia menjadi antara sasaran yang boleh dieksploitasi penggodam.

“Inilah antara kelemahan terbesar yang kita hadapi ketika ini, khususnya dalam aspek penyepaduan keselamatan teknologi operasi (OT) dengan teknologi maklumat (IT).

“Sistem penyejukan tergolong dalam kategori OT dan saya percaya kerajaan serta industri sedang berusaha menangani isu ini kerana masih terdapat jurang keselamatan yang besar dalam teknologi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan serangan siber seumpama itu berlaku di Malaysia dalam program Bernama World bertajuk “Europe’s Supermarket Cyber Threat” yang disiarkan menerusi Bernama TV pada Selasa.

Beberapa siri serangan siber ke atas sistem penyejukan pasar raya di Eropah menyebabkan premis terjejas terpaksa melupuskan bekalan makanan yang rosak.

Menurut laporan, ratusan pasar raya di Perancis menjadi sasaran serangan pada Oktober selepas penggodam berjaya menguasai perisian yang mengawal suhu sistem penyejukan, sebelum serangan serupa dilaporkan berlaku di beberapa negara Eropah pada awal November.

Murugason berkata penggunaan sistem dan platform pemantauan jarak jauh yang sama dalam kalangan peruncit boleh menyebabkan banyak perniagaan terdedah kepada kelemahan keselamatan yang serupa, khususnya apabila melibatkan vendor dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga.

“Inilah kebimbangan sebenar. Satu kelemahan yang sama boleh wujud di banyak lokasi. Risiko itu terletak dalam rantaian bekalan, justeru usaha mengatasinya mesti melibatkan vendor dan penyedia perkhidmatan, bukan hanya pasar raya,” katanya.

Mengenai kaedah penggodam menguasai sistem penyejukan, beliau berkata penggunaan kata laluan lalai yang lemah serta peranti yang boleh diakses menerusi Internet membolehkan penggodam menyamar sebagai pengguna sah untuk mengakses peralatan berkenaan.

Keadaan itu berpotensi membolehkan mereka mengubah tetapan suhu atau menyahaktifkan sistem penggera.

“Serangan ini tidak semestinya memerlukan perisian hasad yang canggih. Ia boleh dilakukan dengan begitu mudah.

“Kata laluan lalai seperti 1234 sudah diketahui umum, malah tanpa kata laluan itu sekalipun, enjin carian yang tersedia kepada orang ramai seperti Shodan boleh mengesan peranti yang terdedah dalam masa beberapa minit,” katanya.

Murugason berkata kebanyakan peruncit dan pengendali rantaian sejuk di Malaysia turut menggunakan sistem saling berhubung yang dikendalikan dari jauh oleh pihak ketiga, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko serangan siber seumpama itu.

Beliau turut mengiktiraf usaha Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan agensi berkaitan dalam membangunkan kerangka keselamatan siber negara, namun menegaskan Malaysia perlu melangkaui aspek pematuhan peraturan dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan operasi.

“Dalam pelaksanaannya, kita perlu mengenal pasti semua peralatan yang disambungkan kepada rangkaian dan memastikan ia dapat dipantau, menghapuskan penggunaan kata laluan lalai serta mengelakkan peranti daripada terdedah kepada akses awam.

“Kita juga perlu mempunyai pelan operasi sandaran secara manual, iaitu kembali kepada kaedah kerja sebelum era digital sekiranya berlaku gangguan.

“Kita mesti bersedia melaksanakannya dan pelan itu perlu diuji.

“Pelan sandaran yang tidak pernah diuji tidak boleh dianggap sebagai pelan yang berkesan. Vendor juga perlu dipertanggungjawabkan.

“Keselamatan mesti diterapkan pada setiap peringkat, daripada kontraktor utama atau pembeli utama hinggalah ke seluruh rantaian bekalan. Kita perlu bersedia, bukannya panik,” kata beliau.

— BERNAMA