Bursa dibuka rendah pada pagi ini

HomeFeaturedBusiness

Bursa dibuka rendah pada pagi ini

KUALA LUMPUR,. Indeks utama Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa, menjejaki prestasi lemah Wall Street semalaman berikutan kenaikan harga minyak m

Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan
Bursa dibuka rendah pada awal dagangan pagi ini
Bursa dibuka rendah pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Indeks utama Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa, menjejaki prestasi lemah Wall Street semalaman berikutan kenaikan harga minyak mentah dan hasil bon AS yang memberi tekanan kepada sentimen pasaran.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 7.22 mata atau 0.43 peratus kepada 1,662.80 daripada 1,670.03 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka rendah 5.91 mata kepada 1,664.11.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 210 berbanding 119 manakala 308 kaunter tidak berubah, 2,254 tidak diniagakan dan 143 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 173.79 juta saham bernilai RM62.81 juta.

Harga minyak menjadi tidak menentu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak cadangan Iran untuk menamatkan konflik antara kedua-dua pihak, sekali gus mencetuskan lonjakan harga minyak mentah yang membangkitkan semula kebimbangan mengenai inflasi dan mendorong peningkatan hasil bon Perbendaharaan AS.

Setakat laporan ini ditulis, harga penanda aras minyak mentah Brent meningkat 1.10 peratus kepada AS$106.29 setong.

Di pasaran tempatan, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks FBM KLCI terus merosot berikutan tekanan jualan berterusan oleh pelabur asing serta kelemahan pasaran pesat membangun serantau yang mengekang sebarang pemulihan.

“Bagaimanapun, penurunan baru-baru ini mungkin menarik minat pelabur untuk membeli saham pada harga rendah secara terpilih, khususnya dalam sektor perbankan, tenaga dan saham mewah yang telah terlebih jual.

“Oleh itu, kami menjangkakan aktiviti dagangan yang berhati-hati, dengan indeks dijangka bergerak dalam julat 1,660 hingga 1,675 mata hari ini,” katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM10.18, manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.78, dan CIMB merosot enam sen kepada RM7.93. Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM12.94 dan IHH Healthcare merosot empat sen kepada RM7.91.

Bagi saham aktif, Zetrix AI berkurangan satu sen kepada 18 sen, Jaks Resources naik setengah sen kepada 19 sen dan Ni Hsin merosot 0.5 sen kepada 38.5 sen.

Es Sunlogy tidak berubah pada 46.5 sen dan United Asiapac Energy menokok satu sen kepada 25 sen.

Antara saham paling untung, Malaysian Pacific Industries naik 30 sen kepada RM42.50, Petronas Gas menambah 26 sen kepada RM17.56 dan Fraser & Neave meningkat 18 sen kepada RM22.40. KKB Engineering menokok 11 sen kepada RM1.25 dan Panasonic Manufacturing Asia melonjak 10 sen kepada RM5.35.

Kuala Lumpur Kepong mendahului kaunter paling rugi, turun 44 sen kepada RM22.16, Allianz Malaysia susut 30 sen kepada RM20.80 dan United Plantations berkurangan lapan sen kepada RM31.52, Press Metal Aluminium dan Hong Leong Financial menguncup enam sen masing-masing kepada RM7.46 dan RM18.84.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 menurun 49.18 mata kepada 17,638.58, Indeks FBM Emas merosot 45.07 mata kepada 12,369.72, Indeks FBM Top 100 berkurangan 47.97 mata kepada 12,158.98, Indeks FBM Emas Syariah merosot 54.53 mata kepada 12,187.79 dan Indeks FBM ACE menguncup 14.19 mata kepada 5,476.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.49 mata kepada 182.31, Indeks Tenaga merosot 1.67 mata kepada 860.15, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 26.91 mata kepada 19,571.47 dan Indeks Perladangan menguncup 35.05 mata kepada 9,183.44.

— BERNAMA