
Bosch akan bina kilang baharu di Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 3 Jun — Robert Bosch Sdn Bhd (Bosch Malaysia) merancang untuk membina kemudahan pembuatan di Pulau Pinang dengan memberi tumpuan kepada perniagaan komponen semikonduktor dan ujian sensor.
Dalam satu kenyataan, syarikat teknologi itu berkata kemudahan itu akan dibina di atas tanah seluas 10 hektar yang terletak di Taman Perindustrian Batu Kawan.
Pembinaan dijadualkan akan bermula pada tahun 2021 dan siap pada 2023, kemudahan ini akan menumpukan perhatian terhadap kepada pengujian terakhir komponen seperti semikonduktor yang digunakan dalam sistem beg udara atau unit kawalan enjin yang dihasilkan di Bosch Automotive Electronics di Dresden, Jerman.
Ia juga akan menempatkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan latihan.
“Dengan unjuran jangka panjang untuk pertumbuhan kuantiti komponen semikonduktor, ditambah dengan pengeluaran ‘front-end’ di kemudahan Bosch di Dresden, Jerman, pengembangan kapasiti diperlukan untuk pengeluaran ‘back-end’ yang merupakan fasa ujian akhir semikonduktor dan sensor.
“Tapak baharu ini juga bertujuan untuk memperkukuhkan ekosistem matang untuk industri semikonduktor di Pulau Pinang,” kata Pengarah Urusan Bosch Malaysia Simon Song hari ini dalam satu kenyataan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestPenang.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata komitmen Bosch dalam melengkapkan ekosistem elektrik dan elektronik di Malaysia adalah gambaran sebenar keyakinan syarikat itu yang berterusan terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pertumbuhan jangka panjang.
“Projek ini juga akan berfungsi sebagai pemangkin dalam membangunkan golongan pakar melalui penggunaan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan automasi produksi dalam industri,” kata Azman.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pelaburan baharu Bosch itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap teknologinya untuk masa depan.
Pulau Pinang mempunyai tiga lokasi tapak pembuatan sedia ada Bosch dan pejabat R&D.
Robert Bosch (M) Sdn Bhd, Robert Bosch Power Tools Sdn Bhd dan Robert Bosch Automotive Steering Sdn Bhd masing-masing adalah pengeluar sistem multimedia kereta, alat kuasa dan stereng automotif.
— BERNAMA