BANGKOK,. Thailand selesai membuat persiapan bagi Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia minggu depan, kata Timb
BANGKOK,. Thailand selesai membuat persiapan bagi Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia minggu depan, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas pada Jumaat semasa lawatan media ke lokasi acara, lapor Xinhua.
Mesyuarat itu akan berlangsung dari 12 hingga 18 Okt di Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit di Bangkok, menghimpunkan lebih 15,000 pembuat dasar, ahli ekonomi, pegawai, eksekutif perniagaan dan wartawan dari 191 negara dan wilayah bagi membincangkan hala tuju ekonomi global.
Ekniti berkata kerajaan akan memanfaatkan perhimpunan itu untuk mengetengahkan Thailand sebagai hab Asia Tenggara bagi pelaburan langsung asing, selain mempromosikan infrastruktur digital, tenaga bersih dan insentif pelaburan negara itu dengan tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik.
Penganjur sedang menyelaras aspek keselamatan dengan Polis Diraja Thailand. Lokasi acara dibahagikan kepada beberapa zon keselamatan berlapis dengan 17 pusat pemeriksaan sinar-X dan 19 pintu pemeriksaan, selain pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) sepanjang masa.
Menurut penganjur, petugas keselamatan turut ditempatkan 24 jam sehari di kesemua 21 hotel rasmi yang menempatkan delegasi.
Ketua Pengarah Pejabat Dasar Fiskal Kementerian Kewangan Vinit Visessuvanapoom berkata acara itu dilaksanakan sebagai “mesyuarat hijau”.
Lebih 320 kenderaan elektrik akan digunakan untuk membawa delegasi, yang dijangka mengurangkan pelepasan lebih 95.8 tan metrik karbon dioksida setara.
Selain itu, sisa makanan akan diproses menjadi kompos, mesyuarat dilaksanakan tanpa kertas dan penggunaan plastik sekali guna bagi penyediaan makanan akan dikurangkan, kata Vinit.
— BERNAMA-XINHUA

