PN mohon tangguh pembatalan pendaftaran oleh RoS – Takiyuddin

HomeFeaturedBerita Semasa

PN mohon tangguh pembatalan pendaftaran oleh RoS – Takiyuddin

KUALA LUMPUR,. Perikatan Nasional (PN) memohon supaya pelaksanaan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (Ro

Ribut petir dan hujan lebat diramal di KL, Putrajaya serta lapan negeri
MyCEB perkukuh kehadiran acara perniagaan Malaysia di Asia Tengah
JAKIM rangka model undang-undang atasi ketidakseragaman perundangan Islam negeri

KUALA LUMPUR,. Perikatan Nasional (PN) memohon supaya pelaksanaan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), termasuk segala kesannya, ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis ini.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata gabungan itu juga, akan mencabar kesahihan perintah pembatalan berkenaan melalui saluran undang-undang.

“PN menggesa Peguam Negara menjelaskan tindakan ini (dan) berhubung pendirian jabatannya di mahkamah, semasa pendengaran permohonan penangguhan PN pada 22 Okt ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Takiyuddin berkata tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN menimbulkan persoalan, kerana Mahkamah Tinggi sebelum ini telah memberikan kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman dan menetapkan pendengaran permohonan penangguhan pada 22 Okt.

Beliau berkata pada 13 Okt, mahkamah menetapkan pendengaran berkenaan selepas Jabatan Peguam Negara menegaskan keperluan prosiding secara inter partes, iaitu dengan kehadiran pihak-pihak terlibat.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata PN turut mengemukakan permohonan bertulis pada 14 Okt, supaya tiada tindakan lanjut diambil sementara menunggu pendengaran mahkamah, namun permintaan itu tidak dijawab.

“Manakala hujahan Jabatan Peguam Negara pada 19 Okt pula menyatakan proses pembatalan ‘masih berjalan’, tanpa memaklumkan bahawa tindakan itu akan dilaksanakan pada keesokan harinya (hari ini),” katanya.

RoS dalam kenyataan pagi tadi memaklumkan pembatalan pendaftaran PN, selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan parti itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti yang dinyatakan dalam notis sebelum ini.

Menurut jabatan itu, keputusan dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan, selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN pada 12 Okt.

Menurut RoS, alasan yang diberikan PN juga tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran parti berkenaan.

— BERNAMA