1MDB, DEUTSCHE BANK BERUNDING SELESAIKAN SAMAN USD1.83 BILION

HomeFeaturedJenayah

1MDB, DEUTSCHE BANK BERUNDING SELESAIKAN SAMAN USD1.83 BILION

PUTRAJAYA,. 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang berunding dengan Deutsche Bank (Malaysia) Berhad bagi mencapai penyelesaian berhubung saman ber

Singapura kekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 pada 2 hingga 4 peratus
AS akan bantu iring kapal berkecuali keluar dari Selat Hormuz mulai Isnin – Trump
PERKESO giat tarik penjaja, peniaga kecil carum Lindung Kendiri

PUTRAJAYA,. 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang berunding dengan Deutsche Bank (Malaysia) Berhad bagi mencapai penyelesaian berhubung saman bernilai USD1.83 bilion (RM7.47 bilion) yang difailkan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Peguam 1MDB Datuk Lim Chee Wee memaklumkan perkara itu ketika prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ravinthran N. Paramaguru.

Panel itu dijadual mendengar permohonan 1MDB untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang memihak kepada firma guaman United Kingdom, White & Case LLP.

“Kami telah memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa terdapat cadangan penyelesaian antara anak guam kami (1MDB) dengan Deutsche Bank. Pendengaran kes itu dijadualkan pada 26 Okt di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rihada Rafie,” kata Lim.

Bagaimanapun, terma cadangan penyelesaian itu tidak didedahkan.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB selaku plaintif memfailkan saman bernilai USD1.83 bilion terhadap tujuh defendan atas dakwaan pelanggaran kontrak, kecuaian dan konspirasi jenayah berkaitan penyelewengan dana syarikat itu.

1MDB menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Berhad, Coutts & Co, J.P. Morgan (Switzerland), PetroSaudi International, PetroSaudi Holdings (Cayman), Tarik Obaid dan Patrick Mahony masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Syarikat itu mendakwa kesemua defendan berkonspirasi untuk menipunya serta memberikan bantuan secara tidak jujur sehingga menyebabkan kerugian, selain menjejaskan reputasi dan nama baik 1MDB.

Bagaimanapun, pada 13 Nov tahun lepas, 1MDB menggugurkan JPMorgan dan Coutts & Co daripada saman berkenaan.

Sementara itu, berhubung permohonan 1MDB untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili White & Case membantah permohonan syarikat itu untuk memasukkan lebih 3,000 halaman dokumen tambahan bagi menyokong permohonannya.

Seorang lagi peguam 1MDB, Khoo Guan Huat, memaklumkan mahkamah bahawa perkara berkenaan telah dibangkitkan ketika pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan minggu lepas.

Panel kemudian membenarkan 1MDB memasukkan dokumen tambahan berkenaan dan mengarahkan afidavit difailkan. Mahkamah turut memerintahkan pengurusan kes diadakan hari ini bagi menetapkan tarikh awal pendengaran permohonan itu.

Pada 20 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan White & Case LLP terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membolehkan saman 1MDB berhubung dakwaan penipuan didengar di Malaysia.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman 1MDB terhadap firma guaman berkenaan.

1MDB memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2024 dengan menuntut ganti rugi masing-masing sebanyak USD1.83 bilion dan USD33 juta daripada White & Case dan Mahony.

Syarikat itu mendakwa White & Case membantu PetroSaudi melakukan penipuan serta berkonspirasi untuk memudaratkan 1MDB ketika bertindak sebagai penasihat undang-undangnya.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak bantahan White & Case selepas memutuskan bahawa saman berkenaan boleh didengar di Malaysia memandangkan saksi perbicaraan berada di negara ini.

— BERNAMA