PUTRAJAYA,. Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar
PUTRAJAYA,. Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewajibkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya dijangka dibentangkan pada persidangan pertama Parlimen tahun depan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Jemaah Menteri telah meluluskan dasar itu secara prinsip beberapa bulan lepas dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kini sedang menyediakan kertas dasar serta draf rang undang-undang bersama Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Bahagian Pengangkutan Darat sedang menyediakan kertas dasar dan rang undang-undang berkenaan. Bagaimanapun, proses itu akan mengambil sedikit masa sebelum dapat dibentangkan di Parlimen kerana melibatkan pelbagai pertimbangan teknikal.
“Mungkin kita menyasarkan untuk membentangkannya pada persidangan pertama Parlimen tahun depan. Itu harapan kita kerana ketika ini, kerja-kerja penyediaannya masih berjalan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas berkata Akta Pengangkutan Jalan akan dipinda bagi mewajibkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata sebanyak 28 kematian akibat kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah direkodkan sehingga Ogos tahun ini.
Sementara itu, Loke berkata cadangan pindaan berkenaan bertujuan menggabungkan proses jenayah dan sivil sedia ada bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pembayaran pampasan kepada mangsa sebagai sebahagian daripada prosiding terhadap pesalah.
Beliau berkata di bawah sistem sedia ada, pemandu menyebabkan kemalangan ketika berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah akan berdepan pertuduhan jenayah, manakala mangsa yang ingin menuntut pampasan perlu memfailkan saman sivil secara berasingan, yang boleh mengambil masa panjang dan melibatkan kos tinggi.
“Di sinilah timbulnya masalah kerana sesetengah mangsa tidak mempunyai kemampuan untuk memfailkan saman sivil, selain proses mendapatkan pampasan menerusi tindakan sivil boleh mengambil masa bertahun-tahun,” katanya.
Beliau berkata mekanisme yang dicadangkan itu akan membolehkan hakim memerintahkan pembayaran pampasan kepada mangsa ketika kes dibawa ke mahkamah, tanpa memerlukan mereka memulakan prosiding sivil secara berasingan.
Loke berkata pendekatan itu selaras dengan prinsip keadilan sejagat dan prinsip Islam yang menekankan bahawa mangsa perlu menerima pampasan atas kemudaratan yang dialami.
“Ini merupakan prinsip sejagat dan juga amat bertepatan dengan prinsip Islam,” katanya merujuk kepada konsep diyat, iaitu pampasan yang diberikan kepada mangsa atau keluarga mereka dalam kes tertentu.
— BERNAMA

