MALAYSIA KEKAL STATUS ELIMINASI HIV DAN SIFILIS DARIPADA IBU KEPADA ANAK, TERIMA PENGIKTIRAFAN WHO

HomeFeaturedBerita Semasa

MALAYSIA KEKAL STATUS ELIMINASI HIV DAN SIFILIS DARIPADA IBU KEPADA ANAK, TERIMA PENGIKTIRAFAN WHO

KUALA LUMPUR,. Malaysia mengekalkan status eliminasi penularan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak (EMTCT) bagi tempoh 2021 hingga 2024 sekali gu

EKONOMI SINGAPURA DIUNJUR TUMBUH 4.8 PERATUS PADA 2026, DIPACU PEMULIHAN SEKTOR ELEKTRONIK DITERAJUI AI – AMRO
Songkran catat 581 kemalangan, 95 maut dalam 3 hari pertama
PARTI GREEN UK TERIMA PAKAI PENDIRIAN ANTI-ZIONIS, ISYTIHAR ZIONISME SEBAGAI BENTUK PERKAUMAN

KUALA LUMPUR,. Malaysia mengekalkan status eliminasi penularan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak (EMTCT) bagi tempoh 2021 hingga 2024 sekali gus meneruskan pencapaian kesihatan awam yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 2018.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan itu disampaikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Serantau WHO bagi Pasifik Barat ke-77 di Manila, Filipina yang berlangsung dari Isnin lepas hingga esok.

“Pencapaian ini meneruskan rekod cemerlang Malaysia sejak 2018 sebagai negara pertama di rantau Pasifik Barat dan negara ke-12 di dunia yang mencapai status ini,” menurut kenyataan itu.

Sijil Pengesahan Pengekalan Status Eliminasi Penularan HIV dan Sifilis daripada Ibu kepada Anak itu disampaikan oleh Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dan Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat Dr Saia Ma’u Piukala kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan.

KKM mendedikasikan kejayaan itu kepada petugas barisan hadapan, warga kesihatan awam dan swasta, Majlis AIDS Malaysia serta rakan pertubuhan masyarakat sivil yang terlibat dalam usaha membendung penularan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak.

Menerusi Kenyataan Negara pada mesyuarat itu, Dzulkefly menggariskan usaha Malaysia memperkukuh pendekatan seluruh masyarakat menerusi peralihan daripada pendekatan merawat penyakit kepada penjagaan kesihatan dan pencegahan.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah peluasan saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam komuniti, cukai minuman bergula, penggunaan pendekatan sains tingkah laku, pemerkasaan kesihatan digital bagi pengesanan awal penyakit serta penyepaduan Inisiatif Kesihatan Paru-paru di fasiliti penjagaan primer.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memainkan peranan aktif dalam kesihatan global menerusi penyertaan dalam Pasukan Petugas Reformasi Seni Bina Kesihatan Global bersama Jepun, di bawah kepengerusian bersama China, bagi memperjuangkan kepentingan negara membangun dan Negara-Negara Pulau Kecil Membangun (SIDS).

Dalam Persidangan Meja Bulat Peringkat Menteri mengenai Perolehan Berkelompok Serantau, Dzulkefly berkongsi pendekatan strategik Malaysia dalam menangani cabaran geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global yang menjejaskan rantaian bekalan ubat.

Beliau turut mencadangkan pelaksanaan projek rintis perolehan berkelompok bagi ubat kritikal terpilih, pembangunan Papan Pemuka Keselamatan Ubat ASEAN serta penubuhan Pakatan Pembuatan Serantau bagi mengenal pasti dan membangunkan keupayaan pengeluaran bahan ktif farmaseutikal (API) di rantau ini.

Menurut KKM, Dzulkefly turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Tedros dan Saia bagi membincangkan usaha memuktamadkan Perjanjian Pandemik WHO menjelang Mei tahun depan, dengan menekankan keperluan penyelesaian seimbang antara perlindungan hak harta intelek serta kesaksamaan akses kepada bekalan ubat-ubatan.

Pada pertemuan itu, WHO turut mempelawa Malaysia menerajui usaha membina konsensus mengenai kesiapsiagaan kecemasan global di rantau Pasifik Barat.

Dzulkefly turut mengadakan pertemuan dengan dua calon Ketua Pengarah WHO, iaitu Budi Gunadi Sadikin dari Indonesia dan Dr Hanan Mohamed Al Kuwari dari Qatar.

Menerusi Kenyataan Negara, beliau turut menyatakan penghargaan terhadap sedekad kepimpinan Tedros sebagai Ketua Pengarah WHO dan menggariskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN ke-17 untuk menerajui inisiatif ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR).

Menurut KKM, Malaysia kekal komited memperkukuh kepimpinan kesihatan global khususnya dalam menjamin keselamatan rantaian bekalan ubat-ubatan dan memastikan kesaksamaan akses kepada rawatan.

“Malaysia menyeru negara anggota untuk beralih daripada saranan kepada tindakan nyata demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sejagat tanpa meminggirkan sesiapa pun selari dengan prinsip leaving no one behind,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelbagai isu kesihatan serantau termasuk penuaan sihat, kecerdasan buatan, kesihatan digital, penyelidikan dan inovasi dan kawalan tembakau.

— BERNAMA